Monday 7 May 2012

Cookie Dough Cheesecake Bars

This is my new hobby and interest selain daripada menulis. Untuk kali pertama saya upload yang ini dulu. Ada beberapa jenis kek lagi yang saya dah try. Nanti saya masukkan lagi.


Last Friday nite, saya masak cookie ni kat rumah mak mertua di Sepang. Sampai-sampai je terus masak, anak-anak semua dah tidur. Sambil borak-borak, suami tengok bola, around 2.30am baru masuk tidur. Tiring, but the next day bangun, (MIL dah tolong masukkan dalam fridge sebelum tu) makan this cookie, wow awesome! Memang sedap.


Dia punya taste ada lemak, masin, manis, coklat, crunchy, cheesy dan sejuk. Semuanya ada. Tapi cookie ni kena makan sikit-sikit sebab dia agak muak.

By the way, recipe ini boleh aje dicedok dari google. Saya dapat secara tak formal daripada colleague makcik saya, so tak tau siapa orangnya. Kalau di ikutkan, design asal bukan macam ni. Maklumlah, first try. It was a bit ugly and cracky. This sunday nak try lagi.







Thursday 3 May 2012

Hari Pertama

Aku mengeluh lemah. Resah hatiku. Cuaca petang yang sejuk masih tidak mampu mendamaikan hatiku yang gundah. Wajah Kartini kupandang tenang. Tidak mahu menunjukkan padanya yang aku tidak kuat berhadapan dugaan ini.

“Betul ini keputusan awak?” tanyaku.

“Iya, Puan. Saya minta maaf banyak-banyak sama Puan. Kalau ibu saya tak sakit tenat, saya masih mahu bekerja dengan Puan lagi. Maaf iya, Puan?” Kartini berulangkali memohon kemaafan dariku.

Kartini, pembantu rumahku yang sudah bekerja selama dua tahun setengah denganku, sepatutnya ada enam bulan lagi sebelum kontraknya tamat. Dia berjanji akan bekerja denganku sehingga anak sulungku masuk sekolah tadika awal tahun hadapan. Nampaknya, tidak menjadi rancanganku.

Aku senyum kecil memandang Kartini. “Tak apalah, Tini. Awak pulang jelah. Tahulah saya uruskan rumah saya ni.”

“Rina bagaimana, Puan?” soal Kartini tentang anak sulungku, Sabrina.

Aku senyum lagi. Walaupun aku sudah dapat mengagak apa yang bakal ku lakukan, namun aku masih runsing sekiranya rancanganku tidak menjadi. Dengan Kartini berkali-kali aku ingatkan usah risau dengan diriku dan keluargaku. Sekiranya dia hendak pulang, pulang sajalah. Siapalah aku untuk menahannya pulang. Dia sekadar pembantu, yang masih punya keluarga dan saudara-mara untuk diuruskan.

Aku akui, Kartini banyak membantu aku dalam menguruskan hal-hal berkaitan rumahtanggaku. Urusan baju semuanya ku letakkan bulat-bulat di atas bahu Kartini. Kecuali pakaian dalam. Tak sanggup pula rasanya membiarkan dia menguruskan pakaian kecil aku dan suamiku. Yang aku tahu, semuanya beres dilipat dan digosok.

Membersihkan rumah juga menjadi tanggungjawabnya. Aku tidak begitu cerewet dalam soal habuk-habuk ni. Aku sekadar berpesan, rumahku biar bersih. Terpulang pada dia bagaimana cara untuk dia melakukannya. Cuma apa yang kulihat, Kartini memang rajin orangnya. Jarang sekali aku jumpa perabotku yang berhabuk. Lantai pula sentiasa licin dan berkilat. Tingkap rumahku juga begitu. Rasanya aku sendiri tidak serajin itu untuk melakukannya setiap minggu.

Pernah aku berpesan agar jangan memenatkan badan mengelap perabot setiap minggu, namun dia mengatakan yang aku bakal mendapat malu sekiranya rumahku berhabuk. Nanti orang pasti mengatakan ruginya aku menggaji pembantu yang tidak membuat kerja. Aku sekadar mengiyakan saja kata-katanya itu.

Memasak pula, tanggungjawabku. Keluargaku mestilah memakan masakan daripada air tanganku sendiri. Dipendekkan cerita, dengan adanya Kartini dirumahku dapatlah aku bersantai dan menghabiskan hujung minggu bersama keluarga tanpa dibebani dengan kerja-kerja rumah yang pastinya memenatkan badanku.

Cuma tidak ku sangka, jodohku bersama Kartini hanya setakat itu. Seminggu sebelum dia pulang, aku dan suami sama-sama bersetuju untuk memasukkan Sabrina ke sekolah tadika yang berdekatan rumah makcikku. Makcikku yang ku panggil Mak Lang sudah bersetuju untuk menjaga Sabrina selepas dia pulang daripada tadika nanti.

Aku tidak pasti samada Sabrina sudah bersedia untuk ke sekolah atau tidak. Bagiku, dia masih kecil. Baru tiga tahun lebih. Aku tidak pernah melepaskan Sabrina berseorangan menghadapi dunia ini. Tidak pernah! Dunia Sabrina mestilah bersama keluarganya sahaja. Hanya keluarga saja menjadi tempat kepercayaanku. Walaupun Kartini pembantu yang baik, namun tetap juga aku tidak percaya.

Sebelum Sabrina masuk ke sekolah, hampir setiap hari aku memberitahunya yang dia akan ku hantar ke sekolah memandangkan Kak Tini akan berhenti kerja. Sabrina masih lagi pelat, pertuturannya masih tidak stabil lagi. Kadang-kadang dia semacam memahami pesananku, kadang-kadang dia terangguk-angguk seolah memahami tetapi lain pula yang dilakukan. Aku sendiri tidak pasti samada dia faham atau tidak dengan ceritaku tentang kehidupan baru yang harus ditempuhinya.  

Aku tidak boleh mengharapkan Mak Lang menjaga Sabrina sepanjang masa kerana Mak Lang mempunyai komitmen yang agak tinggi. Dia mempunyai empat orang anak yang masih kecil dan belum bersekolah, dua daripada mereka adalah kembar. Kemudian Mak Lang turut menjaga ibu mertuanya yang uzur. Tidak sampai pula hatiku hendak menambah beban kepada Mak Lang sepanjang hari. Kerana itulah aku meminta sangat-sangat daripada Mak Lang supaya dia membantu aku menjaga Sabrina dalam tempoh setengah hari sahaja. Alhamdulillah Mak Lang setuju.

Hari pertama Sabrina ke sekolah, aku dan suamiku sama-sama mengambil cuti. Aku teruja. Begitu juga suamiku. Walaupun keputusan itu adalah separuh rela, tetapi aku masih mahu menghantarnya ke sekolah pada hari pertamanya. Aku mahu melihat dengan mataku sendiri bagaimana Sabrina dibiarkan sendirian ke sekolahnya. Bagaimana dia mahu meminta sesuatu daripada cikgunya. Bagaimana dia mahu bergaul dengan rakan sebayanya. Bagaimana dia mahu memberitahu cikgu yang dia mahukan susu. Bagaimana pula dia hendak membuang air kecil? Atau dia terasa rindu pada aku dan suamiku? Berjayakah Sabrina lalui semua ini? Tahukah dia mengawal dirinya sendiri? Pandaikah dia melakukan segalanya sendirian? Bolehkah, sayang?

Mama takut, Sabrina. Mama risau!

Pagi masih awal lagi ketika aku kejutkan Sabrina untuk bangun. Aku kejutkan dia dengan sepenuh kasih dan sayangku. Aku tidak mahu dia mengamuk di hari pertama persekolahannya, seterusnya akan membuatkan dia merajuk dan tidak mahu ke sekolah. Sambil memandikan dia, aku pandang wajahnya dari atas hingga ke bawah. Tidak ku sangka, Sabrina bakal menjadi dewasa selepas ini. Sabrina bukan lagi bayi kecil seperti dahulu, yang perlu didukung dan dipeluk setiap masa. Dia sudah besar.  Sudah pandai menggosok giginya dengan sendiri.

Selepas memakainya tudung, kami semua bergerak ke tadika yang terletak berhampiran dengan rumahku. Habis saja urusan pendaftaran dan tika aku ingin pulang, ku lihat Sabrina tidak keruan. Dia seperti mahu mengikut aku balik. Aku pujuk dia perlahan-lahan.

“Sayang, ini sekolah sayang. Look, ada ramai kawan. Sabrina jangan takut, ya? Mama dengan papa tunggu dekat luar.” Aku menggosok belakang badannya dengan perlahan.

“Takut, mama… takut, mama…,” Sabrina mengongoi. Ah, sudah! Macamana ni?

Tiba-tiba seorang perempuan muda yang ku kira cikgunya datang menghampiri. Kami sama-sama memujuk Sabrina. Macam-macam yang kami beritahu Sabrina hingga akhirnya dia setuju mengikut cikgu tersebut masuk ke kelasnya. Fuh! Lega satu masalah.

“Cikgu, Sabrina ni tak pernah berenggang dengan saya atau family saya. Saya takut dia tak biasa dengan orang yang dia tak kenal. Kalau dia buat hal sampaikan cikgu pun tak boleh handle, please call saya. Boleh tak?”

“Puan jangan risau. Insya-Allah kami boleh handle dia. Tapi kalau apa-apa hal, kami telefon.”

Aku mengangguk perlahan. Moga-moga Sabrina selamat berada di sini. Moga dia tidak dipukul atau dicederakan. Moga dia tidak dibuli kawan-kawan. Wahai Sabrinaku sayang, jagalah dirimu sebaiknya. Mama sentiasa doakan keselamatan Sabrina terpelihara.

Aku keluar mendapatkan suamiku yang berada di halaman tadika. Kami sama-sama menuju ke kereta dan pulang ke rumah. Doa tidak putus dalam hatiku. Wajahku sentiasa tegang. Kelas Sabrina bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Setiap detik untuk tiga setengah jam itu amat bermakna bagiku.

Setiap minit aku berfikir kenapa cikgu tidak menelefonku. Sabrina elokkah di sana? Tidak membuat masalahkah dia? Cikgu kata jam 10.00 pagi mereka akan diberi biskut atau kuih, mahukah Sabrina memakannya tanpa keluarga di sisi? Boleh ke, sayang? Ya Allah, tenangkan hatiku…

Lagi 10 minit ke jam 12.00 tengahari aku dan suami sudah setia menunggu di halaman tadika. Tetapi kereta kami agak tersorok. Aku tidak mahu Sabrina melihatku. Sepatutnya Sabrina akan menaiki bas sekolah. Jadi kami sekadar memerhatikan dari jauh, mahu tahu bolehkah Sabrina menaiki bas sekolahnya bersama orang yang tidak dikenali?

Tepat jam 12.00, aku lihat ramai kanak-kanak mula keluar dari sekolah mereka. Aku tercari-cari wajah Sabrina. Dalam ramai-ramai itu, tidak begitu jelas yang mana satu Sabrina kerana tubuh dan saiz mereka lebih kurang sama sahaja. Pakaian pula sedondon warnanya. Aku dan suamiku cuba mencari beg yang disandang oleh Sabrina kerana itu sahaja yang dapat membezakan mereka.

“Mama, tu anak kita,” ujar suamiku perlahan sambil menudingkan jarinya kepada seorang anak kecil yang bertudung putih sedang berjalan perlahan menuju ke sebuah bas sekolah yang sedia menanti di luar pagar.

Aku hanya memandang ke arah Sabrina yang berjalan berduaan dengan seorang anak kecil yang mungkin kawan barunya ke arah bas sekolah tersebut. Tiba-tiba hatiku  menjadi sayu. Entah kenapa. Rasanya baru semalam aku mabuk-mabuk dan muntah kerana mengandungkan Sabrina. Masih terasa lagi akan peritnya tekak menelan jamu dalam tempoh pantang selepas melahirkannya. Terbayang pula kaki Sabrina yang tidak begitu stabil ketika mula-mula pandai berjalan. Terngiang-ngiang suara halus Sabrina ketika dia mula memanggil aku ‘mama’. Masih terasa hangat tubuhnya ketika aku memeluknya semasa dia diserang demam panas.

Airmataku mengalir tanpa dipinta. Perasaanku bercelaru. Aku gembira melihatkan Sabrina yang melalui hari pertama persekolahannya. Cuma dalam masa yang sama, aku kasihan melihatkan dia terpaksa bersendirian untuk kali pertama tanpa aku atau papanya di sisi.

Saat-saat untuk mendapatkan Sabrina adalah tempoh yang sukar sekali bagiku dan suamiku. Setelah berkahwin selama lima tahun, barulah aku disahkan mengandung. Tempoh sembilan bulan kandungan yang menyeksakan, kulalui dengan penuh kesabaran di hati. Aku tidak seperti ibu-ibu yang lain, yang kulihat gembira setiap kali melakukan pemeriksaan. Mencecah saja lima bulan, doktor terus menyarankan supaya aku duduk di hospital sehingga Sabrina di lahirkan. Uriku berkedudukan di bawah. Bahaya untuk nyawaku, jua nyawa bayiku. Aku akur. Demi seorang anak, aku dan suamiku melakukan apa saja yang dinasihati doktor agar anak itu dapat dilahirkan dengan baik ke dunia.

Kenangan lama yang sebentar tadi hadir direnggut dengan genggaman tangan suamiku yang erat bersatu dengan tanganku. Aku toleh melihatnya. Suamiku turut mengalirkan air mata. Pandangan kami bersatu. Kami berpelukan. Agak lama. Aku tahu yang dia turut memikirkan apa yang aku fikirkan tadi. Siapa yang tidak sedih, segala tohmahan dan cacian saudara-mara kami telan bersama. Tempoh lima tahun tidak langsung merenggangkan kasih sayang antara aku dan suamiku. Kami sentiasa berusaha untuk memiliki anak. Apa saja cara yang dicadangkan, kami sanggup mencuba. Mereka diluar tidak tahu, mereka hanya tahu menuduh. Kononnya aku mandullah, atau suamiku yang tidak mampu. Namun, berkat kesabaran dan doa yang tidak putus, Alhamdulillah lahirlah Sabrina dengan kehendak Yang Maha Esa.

Aku meleraikan pelukanku sebaik ku lihat bas sekolah ingin bergerak. Suamiku mengesat airmata dengan tangannya. Ku pandang kedua tangannya yang mula memegang stereng. Tangan itulah yang telah mendukung Sabrina dan mengazan serta mengiqamahkannya ketika dia selamat keluar dari rahimku. Aku masih ingat wajahnya yang sebak dan tangannya yang menggeletar, ketika menyambut Sabrina daripada huluran jururawat. Orang lain ketawa gembira menyambut bayi mereka, aku dan suamiku pula gembira dalam tangisan.

“Tak sangka kan, mama. Dapat jugak kita tengok anak kita pergi ke sekolah. Dulu papa ingat, kita takkan dapat peluang macam ni. Papa bersyukur sangat…,” suaranya terhenti menahan sebak.

Aku pula apalagi. Airmata kembali mencurah. Benar, aku dan dia pernah berfikiran yang kami sama-sama tidak akan dapat melalui pengalaman seperti ini. Nampaknya, kami silap. Bukanlah kita yang menjadi penentu kepada takdir hidup kita sendiri.

Aku mengusap perlahan pahanya tanda aku memberi sokongan padu terhadapnya. Tidak ku sangka jiwanya sensitif. Lelaki yang ku nampak macho dan selalu tenang menghadapi dugaan ini mempunyai hati yang mudah terusik rupanya.

“Insya-Allah kalau umur kita panjang, dapatlah kita merasa apa yang orang lain rasa. Hari pertama dia sekolah kita dah rasa…”

“Tadika!” pintasku sambil ketawa kecil.

Suamiku sedikit tersentak. “Oppss, over la pulak papa ni,” balas suamiku sambil ketawa perlahan.

“Sambunglah yang  papa nak cakap tadi tu,” ujarku bila tiba-tiba kami berdiam diri.

“Mmm… yang mana ya? Papa lupa dah…”

“Pasal hari pertama dia ke tadika,” jawabku.

Kemudian suamiku kembali senyum. Iya, hari pertama dia ke tadika kita dapat tengok. Insya-Allah kita tengok pula dia pada hari pertama dia ke sekolah rendah, ke sekolah menengah, ke universiti harap-harapnya. Sampailah dia kahwin dan beranak pinak nanti.

Giliranku pula untuk senyum. Iya, pa! Semoga doa papa dimakbulkan. Amin.

Dua puluh lima tahun berlalu dengan begitu pantas. Aku duduk di birai katil sambil tanganku perlahan mengusap kepingan gambar Sabrina waktu dia masih bayi. Satu persatu aku perhatikan. Satu persatu juga kenangan hadir. Hari ini hari pertama aku bakal lepaskan dia pada seorang lelaki yang bakal bergelar suami.

Suamiku datang tanpa ku sedari. Dia turut sama memerhatikan gambar-gambar Sabrina. Ku pandang wajah suamiku perlahan. Uban yang memutih di kepalanya, kulit wajah yang sudah nampak kedutannya menandakan aku dan dia sama-sama sudah masuk ke peringkat yang lebih usia.

“Sabrina dah dewasa, ma. Mama mesti terima hakikat ni. Dia bukan anak kecil lagi,” ujar suamiku menasihati.

Aku angguk perlahan. Faham benar maksudnya. Manakan tidak, sudah tiga kali lelaki yang sama hendak memperisterikan anakku, tapi aku yang menghalang. Daripada umur Sabrina dua puluh tiga tahun, hingga sekarang sudah pun dua puluh tujuh tahun, barulah aku izinkan mereka bernikah.

“Hari ni hari pertama dia akan lepas dari tanggungjawab kita,” balasku perlahan.

“Mama…,” seru Sabrina daripada belakang. Aku dan suamiku menoleh.

Sabrina nampak air mataku yang mula bergenang. Dia menghampiri.

“Mama, Rina sentiasa anak mama tau. Cuma tanggungjawab saja bertukar tangan. Tapi sampai bila-bila pun Rina anak mama. Tiada istilah hari pertama atau hari terakhir. Hari-hari adalah hari yang sama untuk kita.”

Aku mengangguk-angguk kecil. Aku faham itu semua. Cuma kadang hatiku terlalu sukar menerima.

“Kalau Rina ada anak nanti, bagi  mama jaga ya?” pintaku.

Sabrina ku lihat senyum. “Okay, kalau macam tu Rina bagi cucu lima orang dekat mama!”

Aku tergelak. Suamiku juga. Kami kemudian sama-sama bangun untuk turun ke bawah. Namun sebaik sampai di muka pintu bilikku, Sabrina yang sudah berhias cantik itu memelukku erat.

“Rina sayang mama,” ucapnya ringkas. Dia menangis. Aku apa lagi. Kami sama-sama menangis di situ. Aku usap-usap perlahan badannya. Itulah yang selalu aku lakukan tika dia menghadapi masalah.

Agak lama kami menangis. Suamiku turut sebak. Hinggalah kedengaran seseorang memanggil kami bertiga,  barulah pelukan kami terlerai.

“Hari ni hari pertama mama lepaskan tanggungjawab mama pada Asyraf, tapi hari pertama mama jadi ibu mertua. Esok-esok nanti hari pertama mama jadi nenek,” kata Sabrina. Wajahnya basah dengan air mata. Comot juga solekannya.

“Jangan lambat mengandung tau! Mama tuntut janji Rina tadi, lima orang ya,” usikku.

Kami kemudian sama-sama tertawa kecil dan menuruni anak tangga untuk segera ke masjid bagi menyegerakan pernikahan Sabrina. Tanganku dipegang Sabrina sepanjang perjalanan ke sana. Semoga hangat tangan Sabrina tidak berakhir di sini. Semoga Sabrina mendapat kebahagiaan penuh dalam alam baru yang bakal ditempuhinya, seperti mana aku dahulu. Semoga doa dan restuku sentiasa ada untuk Sabrina selagi hayatku dikandung badan.