Thursday 23 February 2012

Dalam Hati Ini

BERTUNANG.
Aina mengerling jam di dinding. Lagi sepuluh minit sepatutnya rombongan pihak lelaki akan tiba. Dada mula terasa berdebar. Agaknya dimana mereka ni sekarang? Dah nak sampai, masih dalam perjalanan atau tak jadi sampai? Hish, apa fikir macam ni? Macam dah nak nikah pula, padahal baru nak bertunang. Dia tersenyum tawar.
Kenangan lalu tiba-tiba hadir dalam ingatan. Syed Azri Shah atau Shah, lelaki yang dikenali sewaktu dia menjadi ‘anak angkat’ Puan Hashimah dan Tuan Syed kira-kira lapan tahun yang lalu. Orangnya agak segak, matang, berkarisma dan mempunyai kerjaya yang baik. Puan Hashimah dan Tuan Syed sebenarnya majikan kepada ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman mereka.
Sebaik dia tamat SPM, ibu meminta dia menggantikan kerja ibunya itu kerana ibu sudah agak uzur ketika itu. Lalu dengan hati yang berbelah bahagi, dia turun ke kota sebagai pembantu rumah kepada Puan Hashimah dan Tuan Syed yang memang sangat baik orangnya.
Aina tidak kekok menjalankan tugasnya. Rutin hidup di kampung sebagai anak sulung terhadap empat orang adiknya menjadikan dia seorang yang bertanggungjawab di rumah orang kaya itu. Dia tidak mahu ibunya mendapat malu sekiranya dia culas dalam menunaikan amanah ibunya.
Selesai mendapat keputusan SPM yang baik, Puan Hashimah dan Tuan Syed meminta dia supaya menyambung belajar lagi. Pada mulanya dia enggan tapi setelah puas dipujuk dan Puan Hashimah berjanji akan menanggung segala pembayarannya, dia bersetuju. Budi mereka memang tidak dapat dibalas, hanya kepada Allah dia bermohon agar kehidupan majikannya itu mendapat keberkatan dan keredhaan daripada-Nya selalu.
Shah ialah anak saudara Tuan Syed yang berusia lebih tiga tahun daripadanya. Dia masih belajar ketika itu. Sejak pertama kali datang ke rumah majikannya, dia sedar akan tumpuan yang diberikan kepadanya oleh Shah. Walaupun dia cuba untuk menolaknya kerana merasakan usianya yang masih mentah, Shah pula seolah-olah tidak kenal erti putus asa. Ada juga masanya Aina naik rimas dengan kelakuan Shah yang sering mengekorinya tanpa rasa malu.
Ah, kenangan!
Dalam pada elok mengenangkan pertemuan dengan Shah, hatinya tiba-tiba terusik bila mengingatkan seorang lagi lelaki yang sebenarnya telah mendiami hatinya sejak sekian lama. Anak bongsu daripada tiga beradik kepada majikannya.
Syed Luqman. Atau nama glamornya Luke, ialah anak majikannya. Entah dimana dia berada sekarang. Mungkinkah dia akan turut serta dalam majlis ini? Sudah lama mereka tidak berjumpa sejak dia dan Luke tamat belajar. Dia terus ke luar negara dan terus menghilangkan diri tanpa berita sejak itu.
Dan Aina di sini, cuba menjadi seorang penanti yang setia. Walaupun tidak pernah terkeluar perkataan ‘cinta’ dari mulutnya, tapi jauh si sudut hati Aina akui dia sangat mencintai Luke. Tapi, cinta Aina ibarat cinta yang bertepuk sebelah tangan. Sekian lama menanti dan Luke masih tidak kembali, keluarga sudah mula bising dengan umurnya yang semakin hari semakin meningkat. Ditambah pula dengan Shah yang begitu berani menonjolkan diri sendiri di kalangan keluarganya, akhirnya dalam deraian airmata Aina bersetuju menerima lamaran Shah yang sudah masuk kali ke sepuluh agaknya.
Sejak itu, Aina cuba melupakan Luke. Dia terus mencuba, dan mencuba agar nama itu dapat dilupuskan dari lubuk hatinya. Hingga saat ini, Aina masih lagi mencuba. Terus-terang, dia menerima lamaran Shah bukan atas dasar cinta. Faktor desakan keluarga dan simpati telah menyebabkan dia terima jua Shah, walaupun hatinya tidak pernah menyetujui tindakan sendiri. Iyalah, hendak tunggu apa lagi? Entah-entah Luke sendiri telah melupakan dirinya.
KEMBALI.
Luke berbaring di atas katil sambil matanya tidak lari daripada memandang kipas siling yang berputar laju.
“Shah nak bertunang bulan depan. Luqman tak nak balik?” suara mama kedengaran di talian.
“Bertunang? Dengan siapa?” soalnya.
“Dengan Aina,” jawab mama perlahan. Macam sedih je bunyinya?
Dan dia pula? Rasa hendak gugur tangkai jantungnya ketika menerima perkhabaran itu. Setelah lama dia melarikan diri, baru hendak bertunang? Kenapa tidak dari dulu?
“Luqman, are you there?” mama bersuara.
“Oh, yes ma. So, mama nak Luqman balik ke? Alah, bertunang je. Nanti bila diorang nak kahwin Luqman baliklah. Ok tak macam tu?”
“Hmm… suka hatilah. Diorang bertunang 20 haribulan ni. Kalau nak balik, baliklah. Kalau tak pun takpe. Lagi satu…”
Luke menanti penuh sabar. Apa yang mama nak sampaikan ni?
“Dengar cerita, dah lama rupanya Shah propose si Aina tu. Baru sekarang Aina terima. Itu pun sebab family Aina bising-bising suruh terima.”
Luke terkedu. Eh, bukankah diorang dah lama bercinta? And, kenapa pula sampai keluarga bising-bising baru Aina nak terima? Aina terima Shah sebab family ke? Well…
“Oh…” balasnya perlahan.
“Agaknya Aina tu dah ada pilihan hati sendiri, tapi iyalah… dah family suruh terima, dia terima jelah…”
Luke hanya diam mendengarkan cerita mamanya. Ayat ‘dah family suruh terima, dia terima jelah’ asyik berputar-putar di kotak fikiran. Kenapa Aina tidak terima Shah atas rasa cintanya sendiri?
Dan disebabkan persoalan itulah, dia kembali jua ke tanahair yang telah lama ditinggalkan. Malam tadi baru dia sampai. Perkhabaran terbaru yang dia terima, mereka telah selamat bertunang dua hari yang lepas. Biarlah mereka. Semoga mereka berbahagia. Dan dia cuma kembali untuk mengetahui apakah betul cerita-cerita yang mama sampaikan padanya. Dia ingin sekali tahu, kenapa Aina tidak menerima Shah atas rasa cinta dan kenapa keluarga pula yang paksa dia terima lamaran Shah.
BENCI.
“Masuklah bodoh!” jerkah Luke pada Aina.
Aina masih terkebil-kebil memandang Luke yang berada di dalam kereta. Apa hal suruh masuk kereta dia pulak?
“Woi, aku cakap masuklah!” jeritnya lagi.
Lambat-lambat Aina membuka pintu kereta dan masuk ke dalamnya. Sebaik pintu ditutup, kereta bergerak dengan lajunya entah ke mana. Aina cuma mampu berdoa dalam hati agar tiada kemalangan yang berlaku. Sesekali matanya dipejamkan bila Luke membelok ke kiri, ke kanan atau cuba memotong kenderaan lain. Dia tidak berani bersuara. Ditambah pula Luke ialah anak bongsu majikannya yang terlalu baran dan biadab. Entah dimana silapnya dalam melahirkan budak ni. Kaki clubbing, kaki perempuan, kaki minum pun iya juga. Astagfirullah…! Pendek kata, si Luke ni memang suka sangat bersosial. Sosial tahap melampau. Memang bukan taste Aina kalau diberikan pilihan untuk jadi suami. Minta dijauhkan, jauh-jauh.
“Apa yang kau fikir tu?” teguran Luke menyedarkan dia dari lamunan.
Eh, nak kemana ni? Macam dah jauh dari rumah je? Aina menyoal diri sendiri apabila melihatkan jalan yang dilalui Luke.
“Kau ni dah lah sengal, pekak pulak tu!”
Aina terkedu. Namun dia masih tidak bersuara.
“Kau dengar sini baik-baik Cik Aina Fatihah. Aku ni sebenarnya dah malas nak belajar lagi. Seriously, I hate it! Setahun kat Sydney dulu pun, sebab mama yang paksa. Sekarang ni dia suruh aku masuk local U pun, because of you,” dia berhenti sebentar bila kata-kata mama tempoh hari menerjah masuk dalam minda fikirannya.
“Jangan malukan mama depan budak Aina tu. Takde harta tapi bercita-cita tinggi nak sambung belajar. Not like you, useless! Duduk kat Sydney menghabiskan duit orang tua je. Alih-alih, fail!” bentak mama.
“You forced me to go there, ok!” balasnya geram. Memang dulu pun, mama yang paksa dia ke sana. Dia sendiri sudah tiada hati untuk sambung belajar lagi. Kerja sajalah dengan papa. Tapi mama tak mahu. Abang dan kakak, masing-masing degree holder. Mungkin mama mahu dia mengikut jejak langkah abang dan kakak. Pleaselah, aku tak nak jadi mat atau minah skema macam diorang! Asyik pegang buku jer… BORING !!
“Mama tak kira. You must continue your study here. Nanti mama suruh papa cakap dengan kawan dia tu. Masuk sekali sama course dengan Aina. Dia pandai. You can refer to her if you need anything. She’s brilliant and be friends with her!”
Luke mendengus kasar. Puas dia membantah tetapi mama tetap memaksanya sambung belajar. Semata-mata nak jaga air muka depan Aina. So what? Go to hell!
Sejak dari itu dia jadi benci dengan Aina. Mama selalu memuji Aina di depannya. Membuat perbandingan antara dirinya dengan anak orang gaji tu. Kalau dulu Aina tolak tawaran mamanya, tentu dia tidak dipaksa mama untuk sambung belajar lagi.
Urghh! Ni semua pasal Aina. Sikit-sikit Aina, sikit-sikit Aina. Kalau Aina nak belajar biarlah. Memang patut pun. Dia orang miskin, mestilah kena kerja keras untuk cari duit. She has to survive! Tapi aku ni, anytime papa boleh kasi duit. My father is a rich man. Belajar apa lagi?
Luke menjeling sekilas ke arah Aina yang masih berdiam diri. T-shirt lengan panjang, seluar jeans hitam agak lusuh, bertudung. Memang dasar budak kampung!
Tiba-tiba dia memberhentikan kereta di satu kawasan bukit terbiar yang entah di mana. Dia keluar daripada kereta dan membuka pintu sebelah. Aina ditarik keluar.
“Kenapa ni, Encik?”
Luke tidak menjawab. Dia merentap beg dan buku-buku Aina lalu dilemparkan masuk ke dalam kereta. Kemudian poket seluar Aina diseluk depan dan belakang. Duit syiling, handphone, resit entah apa-apa, semua dikeluarkan dan dicampak ke dalam kereta. Terakhir, dia menyuruh Aina membuka sandal dan dibaling ke dalam kereta. Aina terpinga-pinga.
Pintu kereta ditutup dan dia berhadapan dengan Aina.
“Aku sebenarnya tak suka kacau hidup orang kalau orang tak kacau hidup aku. Kau dah kacau hidup aku, indirectly. Mama suruh aku sambung belajar disebabkan kau sambung belajar. Kau rasa adil ke?”
Aina tunduk mendiamkan diri. Tapak kaki mula terasa perit berdiri di atas tanah berbatu kerikil yang panas.
“Selama ni, ada tak aku campur urusan kau? Takde kan? Kau nak jadi orang gaji ke, apa ke, aku tak kisah kan? All of a sudden, mama suruh aku sambung belajar balik. Apa kes? Suruh jadikan kau teman study pulak tu. You’re brilliant, be friends with you! Yucks! Hebat sangat ke kau ni? Aku menyampah tengok muka kau adalah. Perempuan kampung!”
Luke terus berlalu ke tempat pemandu. Aina masih berdiri tidak bergerak. Air mata mula membasahi pipi. Sebentar kemudian, deruman enjin kereta kedengaran berlalu pergi meninggalkan dia seorang di situ.
Aina kaget. Dipandang ke kiri dan ke kanan. Tiada apa di situ kecuali kawasan perumahan di bawah bukit. Dia melihat jam tangannya. 2.45 petang. Dia masih belum menunaikan solat Zuhur. Ingatnya, sesampai di rumah nanti masih sempat. Habis kelas jam 2.00 petang. Buru-buru dia ke perhentian bas untuk pulang ke rumah. Ketika itulah Luke datang menyuruhnya masuk dalam kereta. Mak… mana nak pergi ni? Aina mengongoi di dalam hati. Sambil berjalan dengan kaki ayam, tidak putus doanya dipanjat ke Ilahi agar dia selamat sampai ke rumah. Ayat kursi dibaca berulang kali, zikir tidak putus dari lidahnya.
Ampunilah hamba-Mu ini, lindungilah hamba daripada malapetaka dan bencana ya Allah…
Sambil perlahan menyusuri jalan, air mata tidak henti berjuraian. Apalah salah dan dosanya diperlakukan begini? Bukan dia yang meminta sambung belajar lagi, dia cuma mahu terus bekerja sebagai pembantu rumah. Itu sahaja. Puan Hashimah yang beria-ia mahu dia menyambung pengajian. Kenapa kau melepaskan kemarahan padaku untuk sesuatu yang aku tak minta, Encik Luqman?
Jam 9.45 malam, sampai juga Aina di rumah majikannya. Dia benar-benar penat dan keletihan. Lapar dan dahaga usah dikata. Yang membukakan pintu Puan Hashimah sendiri. Terperanjat benar melihatkan keadaan Aina yang tidak bermaya.
“Budak ni betullah!” Puan Hashimah marah-marah sambil menolong menyediakan air suam untuk Aina merendamkan kaki yang melecet dan bengkak-bengkak. Kasihan benar dia pada Aina kerana didera Luke.
“Puan, Encik Luqman tak suka saya di sini. Saya tahu dia nak suruh saya berhenti belajar.”
“Jadi Aina nak berhenti belajar?”
Aina memandang tepat ke wajah Puan Hashimah.
“Tak, Puan. Semangat saya masih kuat lagi. Saya akan teruskan.”
Puan Hashimah menggosok-gosok perlahan belakang badan Aina yang dianggap seperti anak sendiri. Bangga dengan semangat yang ditunjukkan Aina. Bukan macam si Luqman tu!
“Tapi boleh tak Puan tolong saya?”
Puan Hashimah mengerutkan dahi.
“Jangan marah Encik Luqman lagi. Jangan buat perbandingan antara saya dengan dia. Encik Luqman tak suka. Maafkan saya sebab cakap macam ni, Puan. Tapi biarlah Encik Luqman belajar dengan hati yang ikhlas. Iya, Puan?”
Puan Hashimah tersenyum. Sejuk hatinya mendengar tutur bicara Aina. Perlahan-lahan dia menganggukan kepala tanda setuju dengan cadangan Aina.
SABAR.
“Encik Luqman, saya dah siapkan assignment untuk Encik.”
“Nota Encik Luqman saya dah salinkan.”
“Esok pagi saya pergi library, nanti saya carikan buku-buku yang Encik nak tu.”
“Puan Atikah suruh Encik datang kelas esok, kalau tak kena tindakan disiplin nanti.”
Antara perkara-perkara yang selalu dilakukan Aina untuk Luke. Luke mengeluarkan perintah dan Aina menurut. Aina tidak kisah. Asalkan dia tidak didera macam hari tu. Dia tidak mahu pulang ke kampung. Dia mahu berjaya dalam hidup dan juga membantu ibu menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Dia tidak mahu berpatah balik. Rata-rata kawan di kampung sudah bekerja. Agaknya kalau dulu dia masih di kampung, tentu dia tidak bernasib baik untuk teruskan pengajian begini. Alhamdulillah, ini rezekinya. Yang pasti, hati majikan harus dijaga. Walaupun dia terpaksa melakukan tugasan kuliah untuk dua orang ditambah pula kerja-kerja rumah yang harus dibereskan, dia tegar dan sabar melakukannya.
Sementara Luke pula, begitu seronok menjalani kehidupan sebagai pelajar. Dia cuma menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara yang melibatkan dirinya sahaja. Dia akan belajar bila peperiksaan menjelang. Keputusannya juga tidak memberangsangkan. Cukup-cukup makan dahlah. Janji lulus, tak perlu repeat. Yang penting, dia punya banyak waktu untuk bersuka-ria. Mama? Sesekali dia tegur. Tapi takde pula marah-marah. Entah kenapa. Lantaklah, tak payah pening-pening nak fikir.
Rupa-rupanya kehidupan sebagai pelajar ni seronok juga. Selain tak perlu belajar begitu rajin (sebab Aina ada), perempuan cantik juga ramai. Ramai juga yang menggilainya. Maklum sajalah, ke kampus dengan sport car merah menyala, siapa yang tak gila. Ajak saja ke mana, pasti mereka ikut. Minum, makan, clubbing, one night stand pun ada! Ah, perempuan! Kasi ayat sikit je cair. Yang penting, aku happy diorang pun happy. Sama-sama happy. No commitment.
Begitulah kehidupan yang dilalui Luke dan Aina sepanjang pengajian mereka. Walau mengambil kursus yang sama, menghadiri kelas yang sama, belajar dengan pensyarah yang sama, bergaul dengan rakan yang sama tetapi mempunyai hala tuju yang berbeza. Luke sekadar hendak menghabiskan pengajian dan selepas itu entahlah. Tengoklah apa nak jadi. Sementara Aina berbeza. Dia benar-benar mahu mengubah nasib hidup mereka yang sekian lama dibelenggu kemiskinan.
KESAL.

Malam ini atau lebih tepat awal pagi, kerana jam sudah pun hampir kepada pukul 2, dia balik ke rumah untuk mengambil nota yang tertinggal. Esok ada ujian dan memandangkan malam ni mama dan papa tiada di rumah jadi dia mengambil keputusan untuk belajar bersama rakan-rakan lain di rumah sewa mereka. Sementelah Aina tinggal seorang di rumah, dia takut sekiranya menimbulkan fitnah yang boleh memalukan keluarga.

Entah iya atau tidak alasan itu, dia sendiri tidak pasti. Cuma yang pasti, dia mahu melarikan diri daripada Aina sejauh yang mungkin walaupun perkara itu adalah sesuatu yang mustahil. Mana mungkin.

Sejak kejadian dia menceroboh masuk bilik Aina untuk menukar tajuk assignment mereka, hatinya dipagut seribu penyesalan. Insaf atas kesilapan dan kealpaan diri sendiri. Hidup yang terumbang-ambing. Tiada destinasi untuk dituju. Segala langkah yang silap. Bila Aina memberikan dia ‘surat cinta’ itu, dia mula bangkit daripada tidur yang lena. Seakan-akan baru tersedar dari mimpi yang panjang.

Ketika tangannya memulas tombol pintu untuk keluar daripada rumah, tiba-tiba dia teringatkan kejadian yang berlaku hampir tiga minggu yang lalu. Dia menceroboh masuk bilik Aina tanpa kebenaran kerana beranggapan Aina sedang mandi bila melihatkan lampu bilik air yang terbuka. Daun pintu bilik yang terbuka sedikit menyebabkan dia teringin untuk masuk dan berniat untuk menukar tajuk assignment mereka dengan kadar segera. Dia geram, Aina membuatkan tajuk yang entah apa-apa untuk dirinya.

Seolah orang yang mengantuk disorongkan bantal, skrin computer memaparkan apa yang dihajati. Segera dia mencari semua nama Aina dan menukarkan kepada namanya. Secepat kilat dia mencetak fail itu. Tiba-tiba telefon bimbit Aina berbunyi menandakan SMS masuk. Terkejut juga. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah akan kelembapan pencetak yang masih tidak habis-habis mencetak sepuluh muka surat itu.

Tinggal dua muka lagi, tiba-tiba matanya tertancap pada pintu bilik yang dikunci dan Aina yang sedang berkemban dengan tuala. Wow! Luke benar-benar terperanjat. Tetapi dia cuba mengawal dirinya. Gila betul!

Luke bukan tidak pernah melihat perempuan berkemban, malah lebih daripada itu. Tetapi perempuan yang berada depan matanya ini, Aina! Hatta sehelai rambut pun tidak pernah dilihat, inikan pula hampir seluruh badan. Putih melepaknya! Hish, apa aku nih? Baik aku blah cepat-cepat. Sebelum terjadi perkara yang tidak diingini. No! Not with her.

Kepingan kertas yang sudah dicetak, diambil lalu dia bergerak keluar dari meja komputer.

“Aku ambik tajuk kau. Pandai kau ya, bagi aku tajuk yang cincai-cincai je. Kau punya tajuk yang best-best. Aku dah print nama aku. Lepas ni aku nak pergi hantar.”

Aina tidak membalas kata-kata Luke. Dia sudah tidak peduli dengan semua itu. Yang dia tahu, dia teramat malu ketika ini. Kalau tadi aku pakai baju dulu kan elok? Hishh… kenapalah aku ni suka mengambil mudah benda-benda macam ni? Ampunilah aku, Ya Allah…

“Kau ambiklah tajuk aku. Dahlah, aku pergi dululah!”

Keesokan harinya ketika mereka berada di kelas, Aina menyerahkan sekeping surat padanya. Setelah selesai membaca isinya, Luke jadi tidak keruan. Mujur, pensyarah membatalkan kelas. Luke lantas keluar tanpa mempedulikan rakan-rakan yang mengajak untuk pergi minum.

Dia memandu kereta entah ke mana. Tanpa tujuan dan destinasi. Sambil memandu, pelbagai perkara yang difikirkan. Tentang masa silam. Masa hadapan. Tentang mama dan papa. Tentang maksiat yang dilakukan. Tentang dosa dan pahala. Tentang pesanan ustaz dan ustazah ketika di sekolah. Tentang macam-macam lagi. Semuanya difikirkan serentak.

Entah kenapa, dia begitu tersentuh dengan isi kandungan yang ditulis Aina. Dia tidak pasti samada itu lirik lagu ataupun sajak, namun hati kecilnya begitu tersentuh dengan permintaan Aina di dalam surat itu lebih-lebih lagi permintaan diakhir suratnya.

‘Saya dan encik hanyalah hamba-Nya yang kerdil dan sering melakukan dosa. Bezanya, encik adalah majikan saya. Sekiranya pandangan encik terhadap saya semalam tidak dapat diluputkan, sungguh saya malu dengan encik, diri sendiri dan juga Allah Taala. Untuk itu, saya akan pergi dari sini jika encik menginginkan. Jika ada jodoh untuk kita bertemu lagi saya harap encik sudah berubah. Maafkan saya, Encik Luqman. Salam – Aina.’

Janganlah pergi Aina. Habiskanlah pengajian kau dulu. Itukan cita-cita engkau. aku akan pergi sementara ini, hingga kau tinggalkan rumah mama dan papa. Luke berjanji pada dirinya sendiri.

Disebabkan janji itu Luke mula mencari arah hidupnya kembali. Dia meminta izin untuk tinggal menyewa bersama teman-teman sekelasnya di rumah sewa mereka yang tidak jauh dari situ. Dia mula kenal erti malu. Malu pada Aina yang tinggi hemahnya. Pada diri sendiri. Pada mama dan papa. Lebih-lebih lagi pada Tuhan yang Esa.

Sudah agak lama dia teringatkan peristiwa itu di muka pintu rumahnya. Dia mengorak langkah menuju ke bilik Aina. Aina pasti sedang tidur. Rindunya pada Aina tidak tertanggung lagi.

Pintu bilik Aina dibuka perlahan. Tidak berkunci. Hatinya berdebar-debar ketika membuat keputusan untuk masuk ke bilik Aina. Sudah lama dia tidak bercakap dengan Aina. Silap, sudah lama dia tidak memarahi dan menengking Aina. Hmm… kasihan Aina selalu kena buli denganku.

PANDANGAN HATI.

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih
Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati jika dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran
Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir panduan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

Berkali-kali bait lagu itu diputarkan dalam fikiran. Benarkah pandangan hati itu yang paling hakiki? Benarkah pandangan lain selalu tersilap? Dia buntu.

Merenung wajah Aina yang lena diulit mimpi sangat mengasyikkan. Benar, pandangan matanya selama ini telah menipu dirinya sendiri. Aina cantik dan menawan. Rambut yang ikal, bulu mata yang lentik, bibir yang merah, pipi yang gebu, leher yang jinjang dan kulit yang putih kemerahan tersorok dibalik kain yang melindungi dirinya selama ini.

Wajah Aina yang mendamaikan dan tenang. Sentiasa sabar dengan kerenah gilanya. Aina gadis kampung yang tidak kenal erti kalah sebelum berjuang. Walau bermacam-macam cara digunakan untuk mempergunakan Aina, dia tetap sabar melakukannya. Itu belum dicampur dengan herdikan dan makian daripadanya lagi. Entah bagaimana Aina boleh memiliki sifat sabar yang sangat tinggi.

Akalnya juga selalu tersalah dalam menilai jurang di antara manusia. Tiada jurang sebenarnya. Manusia itu semua sama di sisi Allah Taala. Dia kaya dan Aina miskin. Perlukah ada jurang yang memisahkan antara si miskin dan si kaya, pada pandangan Allah?

Nafsu. Benarlah nafsunya selalu melulu. Nafsu lelaki yang satu. Perempuan pertama ditiduri ketika dia berusia lima belas tahun. Air haram masuk ke dalam tekaknya ketika usia yang sama. Dia tidak pernah menyesal dengan nafsu serakahnya itu. Malahan seronok. Nafsunya sentiasa dahagakan itu semua.

Tetapi malam ini, hati kecilnya terusik dengan kalimah ‘utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia’. Dengan keadaan Aina dan dia yang masing-masing bersendirian di bilik tidur Aina, dia pasti dapat mencapai apa yang diingini seperti selalunya. Namun…

Hatinya berbisik perlahan… Luqman, Allah sedang memerhatikanmu, jangan teruskan…

Tiba-tiba airmatanya mengalir perlahan. Kenapa malam ini aku berjaya melawan hasutan syaitan? Adakah Allah masih menyayangiku dan mahu aku bertaubat? Atau, adakah kerana Aina perempuan yang baik, jadi Allah melindunginya? Kenapa aku jadi kuat melawan nafsu ini? Adakah kerana aku sudah jatuh cinta pada perempuan kampung ini lalu terasa sayang untuk mencemarinya? Apa sebenarnya yang aku rasa ni?

Luke meraup mukanya yang sudah basah dengan air mata. Tiba-tiba dia tersentak dengan bunyi alarm yang datang daripada telefon bimbit Aina. Luke tidak mahu nampak seperti kalut. Dia tidak akan melarikan diri. Dia akan terus duduk menatap wajah Aina di sini.

Aina menggosok matanya perlahan. Dia mencari-cari telefon bimbit untuk mematikan bunyi alarm. 3.00 pagi! Desis hati kecilnya. Tiba-tiba matanya tertancap pada tubuh seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi, di sebelah katilnya. Cahaya lampu tidur yang suram tidak menyukarkan dia untuk mengenali identiti lelaki itu.

“Eh, apa Encik buat kat sini? Kan…”

Aina menarik selimut di kaki lalu membalutkan badannya. Sambil itu fikiran masih sempat berfikir sama ada pakaian masih lengkap atau tidak. Sementara Luke masih tetap berada di kerusi yang berhadapan dengan katil Aina. Hanya memandang ke arah Aina tanpa berkata atau melakukan apa-apa.

“Encik, buat apa kat bilik saya ni?” soal Aina sekali lagi.

“Entah,” jawab Luke ringkas.

“Encik kan tidur rumah kawan?”

“Saya balik sekejap ambil nota tertinggal.”

Aina tidak tahu hendak berkata apa lagi. Kenapa anak majikannya ni berperangai pelik? Kenapa dia duduk sini tengok aku macam nak telan je?

“Err… saya masuk bilik air dululah. Nak ambil wudhu’,” seraya itu Aina bingkas turun dari katilnya untuk ke bilik air.

“Aina,” panggil Luke perlahan. Aina terhenti.

“Lirik yang awak bagi saya tu… telah mencelikkan mata saya yang buta selama ini.”

Aina tersenyum kecil. “Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-hambaNya, Encik Luqman.”

Luke lantas bangun lalu keluar dari bilik Aina.

RINDU.

Menghabiskan semester terakhir pengajian ini terasa lambat sekali. Manakan tidak, sejak kejadian di bilik tidurnya dua bulan lepas, Luke tidak pernah mengganggu hidupnya lagi. Hidupnya sudah tidak sibuk lagi dengan kerja berganda yang harus dilakukan. Dia sudah berpindah ke rumah kawannya dan menyewa bersama mereka. Aina tidak tahu kenapa.

Semalam, ketika dia di perpustakaan Luke datang dan duduk di sebelahnya.

“Malam tu, saya tak buat apa-apa kat Aina. Don’t worry,” bisiknya perlahan. Takut didengari orang lain, lagipun dalam perpustakaan.

“Saya tahu,” balas Aina perlahan.

Tiba-tiba sekeping kertas disisipkan ke bawah buku latihan Aina.

“Saya balas surat awak hari tu.”

Belum sempat berkata apa-apa, Luke sudah berlalu pergi. Aina tidak langsung memandang ke arah Luke. Dia tahu sekiranya dia mengangkat kepala, pasti mata-mata lain akan memandangnya dengan pandangan yang aneh.

Aina tergelak dalam hati. ‘Saya balas surat awak hari tu.’ Sejak bila pula mereka berbalas surat?

Memang benar sebelum kejadian Luke masuk ke dalam biliknya, dia ada memberikan surat kepada Luke. Lirik lagu yang dirasakan paling sesuai untuk diberikan kepada seorang anak Adam yang terpesong jauh dari landasan hidupnya. Kadang-kadang Aina naik geli melihatkan perempuan-perempuan gedik yang sanggup menggadaikan maruah diri untuk mendampingi Luke. Juga, Aina pernah merasakan bersalah kerana tidak menegur perbuatan sumbang Luke yang dilakukan di rumah kedua ibu bapanya, ketika mereka tiada.

Betapa alpanya Luke di atas muka bumi ini. Tidakkah dia terfikir yang perbuatan zina, meminum arak itu adalah dosa yang paling besar? Yang menjadikan Aina lebih hairan, hanya Luke saja berperangai buruk begitu. Adik-beradiknya tidak pula. Hanya Encik Luqman!

Fikiran Aina melayang kepada kisah yang berlaku tiga minggu sebelum kejadian di bilik malam itu. Suatu petang, selepas mandi dia masuk ke biliknya untuk memakai baju. Kemudian dia teringat yang dia terlupa memberus gigi. Dengan hanya berkemban tuala paras paha, dia berhati-hati keluar dari bilik dan masuk ke bilik air yang terletak bersebelahan biliknya. Sangkanya dia akan cepat-cepat keluar dan masuk semula ke bilik. Malas untuk memakai baju dahulu.

Namun apa yang tidak dijangkakan telah berlaku. Ketika Aina masuk ke bilik dan mengunci pintu dia terkedu bila melihatkan Luke di dalam biliknya sedang terkejut memerhatikan dirinya yang separuh bertutup itu. Pantas dia mencapai selimut di katil lalu menutup badannya yang masih bersisakan air mandian. Luke nampak serba-salah.

Ah, malas nak ingat cerita selanjutnya. Memalukan!

Namun, memikirkan yang Luke mungkin akan berbuat sesuatu yang tidak baik terhadap dirinya menyebabkan dia menghantar lirik lagu itu kepada Luke. Harapannya biarlah Luke sedar akan dosa-dosa yang sering dilakukannya. Semoga dosa itu tidak diulangi atas dirinya. Manalah tahu, datang kepala gila si Luke tu, aku jadi mangsa nafsu buasnya tu. Hish.. minta dijauhkan!

Di akhir surat, dia meminta supaya Luke melupakan apa yang telah dilihatnya kerana dia begitu malu. Malu pada dirinya, malu pada Luke dan lebih penting malu kepada Allah Taala. Sungguh, dia selalu berharap agar auratnya hanya ditatap oleh suami yang halal baginya. Bukan Encik Luqman!

Aina mengeluh kecil mengingatkan peristiwa yang memalukan itu. Tiba-tiba dia teringatkan kertas yang ditinggalkan Luke sebentar tadi. Aina mengeluarkan dan membacanya.

‘Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…..’

Aina tidak mengerti. Apa maksud dia ni? Siapa yang keji dan siapa yang baik? Aku baik, dia keji. Macam tu ke? Ah, perasan pulak aku! Aku pun hamba-Nya yang tidak sempurna. Ada cacat dan cela. Atau mungkin aku tidak layak menegurnya hari tu? Hm, entahlah! Kacaunya fikiranku.

Namun, satu yang pasti, dia merindui Luke. Ah, malunya untuk memperkatakan hal ini. Tapi dia tidak mampu menipu dirinya sendiri. Dia mula merindui Luke sejak lelaki itu ‘melarikan diri’ daripadanya. Sebenarnya Aina tidak sukakan perasaan ini. Tapi dia tidak mampu menolaknya. Dia cuba untuk berbuat tidak tahu tetapi kadang-kadang nampak kelibat kereta Luke di fakulti sudah cukup membuatkan hatinya berbunga riang. Sesekali mereka bertembung pandang dari jarak yang jauh. Walau tiada senyuman terukir antara keduanya, dia rasa senang. Ah, benar-benar kacau ni! Apa dah jadi? Aku tak boleh suka kat dia. Dia jahat! Jahat! Dia buli aku! Aku tak boleh suka dia! Tak boleh!

SAYANG.

Hari terakhir di rumah Puan Hashimah bererti permulaan bagi Aina untuk melangkah ke alam pekerjaan. Aina tidak lagi tinggal di situ. Sangkanya, Luke akan segera kembali ke rumah itu bila dia keluar. Namun dia hampa. Sebaik tamat peperiksaan, Luke pulang ke rumah untuk berkemas-kemas. Tanpa berkata apa-apa, seminggu selepas itu dia terus menghilangkan diri. Dia mengetahui yang Luke ke luar negara pun daripada Puan Hashimah.

Jauh di sudut hati, dia tersinggung. Walaupun mereka bukan kawan baik tetapi Aina terasa hati. Dia makin sedar siapalah dia di hati Luke. Gilakah aku?

Semakin hari, semakin meningkat usia, Aina cuba membuang nama Luke daripada hatinya. Dia menjalani kehidupan seperti orang biasa dengan bekerja dan membantu keluarga di kampung yang susah. Dia tidak mempunyai ramai kenalan lelaki disebabkan Shah. Shah seolah-olah menjadi kekasih tak rasminya walau ke mana dia pergi. Dia cuba mengelak tetapi Shah tidak mudah dielakkan. Shah bijak mencari peluang untuk bersamanya. Mengambil hati ibu bapanya, juga mengambil hati orang kampung!

Panas yang disangkakan berlarutan hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Tiga bulan bergelar tunangan Shah telah menunjukkan sifat tidak sabar Shah dalam mahu menjadikan Aina isteri yang sah. Satu perbuatan yang dilakukan Shah telah menyebabkan Aina meminta pertunangan mereka dibatalkan. Tidak kiralah apa jadi, Aina minta pertunangan itu diputuskan. Puas ibu bapanya dan ibu bapa Shah memujuk namun Aina tetap tidak mahu meneruskan.

Sejahat-jahat Luke, tidak pernah sekalipun dia menyentuh Aina. Sebaik-baik Shah pula… ah, tak nak fikir lagi!

Seminggu selepas pertunangan itu diputuskan, Puan Hashimah menjemput Aina datang ke rumah. Ada kenduri doa selamat katanya. Walau hatinya penuh dengan debaran, digagahkan jua diri untuk datang kerana yang menjemput ini Puan Hashimah. Wanita yang harus dihormati kerana pernah menanggung pelajarannya suatu ketika dulu.

Seperti biasa, Aina akan membantu apa yang patut ketika di  dapur. Bukan dia tidak biasa pun. Sesekali dia menoleh ke bilik lamanya yang pernah menjadi miliknya dulu.

“Teringat siapa?”

Aina tersentak. Teguran yang membuatkan seluruh anggotanya lemah dan tidak bermaya. Rasa ingin terlepas saja pinggan yang tengah dicuci. Dia mencari sepenuh kekuatan untuk melemparkan segaris senyuman.

“Tak.. teringat bilik lama saya tu,” jawabnya perlahan. Dia menyambung cucian di sinki. Rasa panas mula menjalar ke seluruh wajah. Hish.. apa ni…! Janganlah macam ni, Aina…

Mereka diam seketika. Aina bersyukur kerana pinggan di sinki masih banyak. Jadi, dia tidak perlu memulakan perbualan.

“Boleh tak saya tanya sesuatu?” tanya Luke tiba-tiba. Aina menjeling sekilas tanda mengizinkan.

“Kenapa Aina putuskan pertunangan dengan Shah?”

Aina senyum. “Oh.. takde apa-apalah,” jawab Aina tidak jujur. Tidak mahu memanjangkan cerita itu lagi. Berada di rumah ini pun sudah cukup menakutkan dia jika terserempak dengan Shah. Tambahan pula saudara-mara yang berada di situ kebanyakannya saudara-mara Shah juga.

“Sebab dia kiss awak?” soal Luke lagi, membuatkan Aina terdiam. Macamana Luke tahu?

“Shah ceritakan pada saya,” Luke soal, Luke jawab sendiri. Aina masih lagi tergamam. Kenapa Shah bercerita pada Luke tentang hal ini?

Luke berpeluk tubuh sambil melepaskan satu keluhan yang berat.

“So… kita sekarang sama-sama keji lah ya?”

Aina mengerut dahinya tanda tidak mengerti.

“Iyalah, dulu saya keji. Aina baik. Sekarang ni kita sama-sama kejilah nampaknya.”

Aina ketawa. Baru dia faham akan maksud kata-kata Luke itu. Kata-kata yang pernah Luke tulis dalam surat dan berikan padanya dahulu.

“Saya lain…” balas Aina sambil ketawa.

“Hasilnya tetap keji jugak,” Luke tetap dengan usikannya terhadap Aina.

“Kenapa awak pergi tanpa beritahu saya dulu?” soal Aina tiba-tiba. Dia sudah lama mahu bertanyakan hal ini. Mungkin sekarang ini adalah masa yang paling sesuai. Entahkan tiba-tiba Luke hilang lagi, sekurang-kurangnya dia sudah bertanya.

“Emm… saya pernah terbaca SMS awak, yang dihantar Shah. Sorry ya,” pinta Luke jujur.

Ahaa… SMS daripada Shah memang semuanya ada unsur-unsur kasih dan sayang. Panggilan ‘sayang’,’baby’,’honey’ dan entah apa-apa lagi memang menjadi kebiasaan Shah. Bila masa dia baca SMS aku? Entah-entah masa aku berkemban dulu tu? Patutlah macam dah dibaca…

“Awak kan memang jadi buruan dan kegilaan Shah sejak mula-mula datang sini. So, saya malaslah nak kacau orang punya…”

“Aik? Macam baik je bunyinya… Tak nak kacau orang punya? Betul ke tu?” pintas Aina dalam nada menyindir.

“Perempuan lain tak sama dengan awak Aina!” ujar Luke keras dalam nada yang perlahan. Bimbang didengari orang lain. Entah kenapa hatinya tiba-tiba panas dengan sindiran itu.

“For the first time, saya rasa kalah bila saya tahu Shah ambil langkah dahulu daripada saya. Sebab tulah saya pergi. Saya tak nak bila Shah kahwin dengan awak, saya tengok awak berdua sama cantik sama padan atas pelamin tu dan saya macam orang gila kat bawah ni!”

“Tapi saya tak kahwin pun dengan dia kan?” Aina membalas renungan tajam Luke. Jantungnya mula berdegup kencang bila lahar kemarahan mula terasa. Kenapa mesti bergaduh dalam waktu macam ni?

“Kenapa awak tak kahwin dengan dia? Awak tunggu saya?” soal Luke. Soalan maut!

Aina membasuh tangannya. Airmata sudah bergenang. Bodoh punya orang! Malas dia nak layan. Sudah tahu lagi bertanya. ‘Iya, Encik Luqman memang selama ni saya tunggu awak!’ Takkan aku nak cakap macam tu dengan dia.

“Pinggan banyak lagi, kenapa awak berhenti basuh?”

“Kita dah takde apa nak cakap lagi, saya nak pergi cari mak kejap.”

“Saya boleh tarik awak, masuk bilik saya dan kita boleh bercakap! Kalau itu yang awak mahu,” Luke mula mengugut.

Aina memandang kembali pinggan yang masih banyak di sinki. Hatinya mendongkol geram. Eeeiii.. bencinya aku dengan dia ni! Selalu macam ni! Kemudian dia menyambung tugasannya membasuh pinggan.

Luke merenung Aina tanpa berkedip. Aina mula gelisah. Tadi kata nak bincang!

“Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada awak, Aina,” ujar Luke kembali tenang. “Saya dah banyak buat silap dalam hidup saya. Awak dah sedarkan saya. Tapi…”

“Tapi saya baik dan awak jahat, jadi kita tak boleh bersama? Macam tu?” Fuh! Beraninya aku cakap macam ni, desis hati kecil Aina.

Luke tersenyum kacak. “Pandai pun..,” balas Luke.

Suasana hening seketika. Luke masih terus-terusan memandang Aina. Susahnya nak alihkan mata ni dari pandang benda lain. Aina nampak matang dalam masa lima tahun ini. Solekan tipis membuatkan dia nampak lebih menawan. Tudung berlilit yang didandan kemas membuatkan Aina nampak sangat manis. Alahai rugilah kau, Shah…!

Aina mengerling sekilas. “Tak baik pandang saya macam tu…”

“Zina mata…,” sambung Luke cepat-cepat sambil tersenyum kecil.

“Tahu pun,” ujar Aina.

“Kenapalah Shah tu gelojoh sangat. Kalau dia sabar sikit kan ke elok? Pandangan nafsu ni memang selalu melulu kan?”

Aina terdiam. Masih ingatkah Luke akan lirik lagu itu? Iya, Aina jatuh hati pada Luke disebabkan sikap itulah. Sikap yang lebih takutkan Allah daripada bertuhankan syaitan. Tiba-tiba hatinya tersentuh.

“Encik Luqman, saya ada sesuatu nak cakap. Tapi saya harap, Encik simpanlah rahsia ini sampai bila-bila.”

Giliran Luke mengerutkan dahi.

“Saya pernah bertunang, itu Encik tahu kan?”

Luke mengangguk kecil. Tidak sabar menanti butir bicara selanjutnya daripada Aina.

“Tetapi sebenarnya, cinta saya ada pada lelaki lain yang bukan tunang saya tu,” ucap Aina perlahan. Luke semakin berdebar. Siapa lelaki itu, Aina?

“Dia ialah lelaki yang tidak mengambil kesempatan ke atas saya ketika keadaan mengizinkan,” Aina melepaskan apa yang terbuku di hati. Kemudian mengeluh kecil lalu menyambung tugasan yang tergendala tanpa memandang ke arah Luke. Biarlah dia berterus-terang saja. Biarlah Luke tahu isi hatinya. Dia tidak mahukan balasan, yang dia mahukan ialah Luke tahu perasaannya. Cukuplah sekadar itu. Dia cuma meluahkan isi hati dan bukan meminta Luke mengahwininya.

Luke jadi sayu dengan pengakuan ikhlas itu. Aku pun sayangkan kau, Aina. Terima kasih atas jawapan ini.

SABARLAH HATI.

“Mama nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab Luqman dah jadi anak yang baik sejak berkawan dengan Aina,” ujar Puan Hashimah ketika mereka berduaan di luar rumah selepas selesainya kenduri tadi.

Aina tersenyum kecil. “Mmm.. takde apa yang saya buat, Puan. Memang Encik Luqman sebenarnya baik. Patutnya saya yang berterima kasih dengan Puan sebab menanggung pelajaran saya dulu. Kalau tidak, hidup saya sekeluarga masih lagi susah. Saya pun tak tahu macamana nak bayar hutang Puan,” jawab Aina.

“Eh, janganlah cakap macam tu. Mama tak pernah anggap Aina buat pinjaman tau. Mama ikhlas tolong Aina. Tapi kalau Aina rasa berhutang dengan mama, anggap je lah Aina dah bayar dengan jadikan Luqman macam tu.”

Aina tersenyum senang dengan kata-kata Puan Hashimah.

“Bulan depan jangan tak datang ya?” Puan Hashimah mengingatkan.

Aina tiba-tiba tersentak dengan ingatan itu. Ingin saja dia mengalirkan airmata tetapi ditahan sedaya upaya. Rupa-rupanya kenduri doa selamat yang diadakan bertujuan untuk meraikan kepulangan Luke dan juga perkahwinan Luke pada bulan hadapan. Wanita yang bakal dinikahi ialah seorang perempuan yang pernah dirosakkan Luke suatu ketika dulu dan telah mempunyai seorang anak perempuan yang sudah pun berusia enam tahun.

Aina kenal perempuan itu kerana mereka sama-sama belajar di universiti yang sama. Mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara aku dengan Encik Luqman. Tak mengapalah… Wahai hati, sabarlah engkau…

“Insya-Allah, Puan. Saya datang nanti,” ujar Aina berjanji. Dia terus menyalami Puan Hashimah dan berlalu keluar dari rumah itu. Rumah yang pernah menyimpan segala memori indah dalam hidupnya.

Puan Hashimah memandang sayu langkah-langkah terakhir Aina menuju ke kereta hingga kereta yang dipandu ayah Aina bergerak melewati banglonya. Jauh di sudut hati, dia sangat terkilan dengan permintaan Luke untuk menikahi perempuan lain selain Aina. Ketika menerima berita putusnya pertunangan Shah dan Aina, dia terus saja mencadangkan nama Aina kepada Luke. Namun, Luke membawa khabar duka pula pada dirinya dan keseluruhan keluarga mereka. Luke ingin bertanggungjawab pada seorang perempuan yang pernah dirosakkannya.

Sedar tak sedar, airmatanya mengalir perlahan. Sudah lama keinginan untuk menjadikan Aina sebagai menantu, dipendam. Namun akhirnya tidak kesampaian.

‘Bayarlah hutang Aina dengan jadi menantu mama,’ bisikan hati yang tidak terluah pada sesiapa.

Dalam perjalanan pulang ke kampung, Aina yang leka mengelamun terkejut bila tiba-tiba menerima SMS daripada Luke.

Luke : [Saya sayangkan Aina dunia dan akhirat. Terima kasih dan maafkan saya, sayang.]

Aina mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Mujur dia duduk di tepi tingkap. Airmata berjuraian tanpa dapat ditahan lagi.

Setelah dia dapat menenangkan dirinya, dia membalas SMS Luke.

Aina : [Sama-sama. Tahniah dan selamat tinggal, Encik Luqman].

Sebaik SMS diyakini sampai kepada Luke, dia mematikan telefon dan memejamkan mata rapat-rapat. Mengumpulkan kembali segala kekuatan yang punah dibadai ombak. Hidup ini masih panjang perjalanannya. Ingatlah pada Yang Esa. Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia… Sekurang-kurangnya pada pertemuan ini, Luke telah berubah. Dia sangat bersyukur.

Luke menatap lama skrin telefon bimbitnya. Hatinya menangis hebat. Pedihnya perasaan ini! Melepaskan seseorang yang amat disayangi tidak semudah yang disangkakan. Perlahan tengkuknya diusap. Kasih dan sayangnya pada Aina tidak akan pudar. Ainalah wanita pertama yang benar-benar disayanginya. Cuma, sebagai hamba yang kerdil dia mesti berbuat sesuatu untuk jadi manusia yang bertanggungjawab atas perbuatan sendiri. Dia berdoa semoga Allah memberikan jodoh yang paling baik untuk gadis kesayangannya itu. Dia yakin Aina akan tabah melalui semua ini. Kalau ada jodoh, kita bertemu kembali…

Tamat.

No comments:

Post a Comment