Thursday 23 February 2012

Mira Debab

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 5.45 petang. Izzad bersiap-siap untuk mencuci kereta di halaman rumahnya. Dengan memakai seluar pendek paras lutut dan t-shirt tanpa lengan, dia terus melakukan tugas itu seikhlas mungkin. Ikhlas kah, atau ada udang di sebalik batu? Hmmm…
Sesekali matanya melirik ke luar pagar rumahnya. Menanti-nanti kalau gadis comel semalam lalu lagi. Sudah lima belas minit. Izzad mula hampa. Mana si comel ni? Tanya hati kecilnya. Namun tangannya masih ligat mencuci kereta Proton Gen-2 warna hitamnya itu. Yang baru dimilikinya seminggu yang lalu.
“Apa yang dok terintai-intai tu, Izzad?” suara mama memecah keheningan petang. Izzad tersentak.
“Intai apa? Mana ada intai apa-apa?” Izzad cuba mengelak. Harap-harap mama tak tahu!
“Sudahlah, Izzad. Ingat mama ni rabun ke? Sejak dapat kereta ni, asyik cuci kereta je kerja kamu.”
“Kereta baru, ma. Mestilah jaga baik-baik,” Izzad cuba menyimpang.
“Habis, naper mata tu dok terintai-intai je kerjanya? Intai budak semalam tu ke?”
Gulp! Budak semalam? Mama nampak ke semalam aku intai budak yang pakai baju oren tu?
“Budak baju oren tu kan?”
Izzad memandang mamanya. Dia menyeringai. Mama ni memang hebatlah! Tahu-tahu je apa dalam kepala aku ni. Dia sudah tidak mampu untuk berkata apa.
Mama mencebik. “Ini mamalah, Izzad. Tapi kalau berkenan mama boleh tolong pinangkan. Kamu tu pun bukannya muda lagi. Kalau kahwin dah beranak-pinak agaknya,” ujar mama. Izzad menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa mama merepek ni? Aku baru nak usha, dah nak masuk meminang. Nama budak tu pun aku tak tau.
“Dah, mama nak tanya. Malam karang kamu keluar tak? Kalau tak, nanti kamu tolong pi kedai Pak Ali. Belikan mama kacang hijau dengan santan. Kamu dah lama tak makan bubur kacang hijau kan?”
Izzad menggangguk setuju. Terliurnya bila mendengarkan bubur kacang hijau. Memang dah lama dia tak merasa bubur kacang hijau buatan mama. Selama sembilan tahun menetap di luar negara, dia jarang sekali dapat pulang ke Malaysia. Sambutan Aidilfitri pun jarang sekali dia berada di sini. Namun setelah lama berada di perantauan, dia mula rindu pada tanahair. Mama pula selalu sangat telefon dan buat cerita sedih. Akhirnya, Izzad membuat keputusan untuk kembali ke tanahair dan bekerja saja di sini.
Sebenarnya dia baru saja pulang ke Malaysia. Baru dua minggu. Kerja pun belum dapat lagi. Yang untungnya, papa baru belikan kereta untuknya seminggu yang lalu. Dan seminggu yang lalu jugalah dia dok usha awek comel yang sering lalu di depan rumahnya untuk pergi ke kedai berhampiran. Kalaulah dapat buat bini, tak sia-sia aku balik sini! Hehehe…
Tanpa berlengah, selepas saja menunaikan solat maghrib, Izzad segera ke kedai Pak Ali untuk membeli barang-barang yang dipesan mamanya. Sudah dua minggu balik sini, baru mama nak buatkan bubur kacang hijau tu. Al-maklum saja, anaknya yang kacak lagi bergaya ni tak henti-henti keluar malam jumpa kawan-kawan lama. Lepas maghrib je keluar, balik rumah pukul 2 atau 3 pagi. ‘Kalau masak, siapa nak makan? Kamu tu suka makan yang baru masak je, kalau dah semalaman simpan tak mahu makan pulak nanti.’ Jawapan standard mama. Heee…
“Pak Ali, takde stok ke?” kedengaran suara seorang gadis bertanyakan sesuatu pada tauke kedai semasa Izzad hendak membuat pembayaran.
“Tulah, habis cepat pulak hari ni. Esok jelah ya, Mira,” jawab Pak Ali. Stok apa yang habis tu? Fikir Izzad. Sambil tu matanya dok perhatikan belakang gadis yang bernama Mira itu. Macam awek comel yang aku usha je ni!
“Okaylah. Esok jelah Mira datang. Bye, Pak Ali!” Mira tu lantas keluar dari kedai Pak Ali tanpa berlengah.
Pak Ali tersengih-sengih. “Hari-hari beli Super Ring. Suka benar makan benda-benda tak sihat tu,” rungut Pak Ali. Izzad turut tersenyum.
“Siapa tu, Pak Ali?” tanya Izzad tidak semena-mena. Entah kenapa tiba-tiba rasa ingin tahu pula pasal budak Mira tu.
“Tadi tu? Tak kenal ke?” soal Pak Ali pada Izzad. Izzad menjungkit bahu tanda tidak tahu.
“Dia tu anak Pakcik Jauhari. Mira namanya, nama penuh tak tahu pulak. Ala, dulu budak tu gemokkk sangat. Sekarang dah kurus. Dah lawa dah. Takkan kamu tak kenal?”
Izzad terkebil-kebil. Mira? Dulu gemuk? Anak Pakcik Jauhari? Mira Juliana??? OMG! Mira Debab!! Awat dah jadi kurus? Biar betul!
“Eh, kamu ni anak siapa ya?” tanya Pak Ali pada Izzad. Seingatnya tak pernah jumpa dengan budak ni. Tapi rupa dia ni, macam muka si Rohaya tu.
Terbang melayang ingatan pendek Izzad terhadap Mira Debab tu. “Oh, saya anak Kamaruddin dengan Rohaya. Saya duduk dekat rumah yang keempat dari tepi tu,” jawab Izzad ramah.
“Ohh… yang kat luar negara tu ya? Dah balik rupanya kamu. Patutlah macam kenal. Ingat nak jadi mat salleh terus dah,” Pak Ali buat lawak sambil menyindir dengan Izzad. Izzad tersengih-sengih. Panas jugak telinganya dengan lawak Pak Ali yang tak berapa lawak tu.
****
“Mira Debab!”
“Mira bontot besar!”
“Mira terhempap-hempap!”
“Mira lembab!”
“Mira rabun ayam!”
“Mira belon air!”
Itulah antara gelaran-gelaran jelik yang diberikan kepada Mira ketika sekolah rendah dan sekolah menengah dahulu. Entah kenapa, dialah orang yang paling suka menyakat Mira. Apa saja yang Mira cakap atau buat, pasti dia dan rakan-rakannya akan menyindir. Tambah lagi bila ada orang bocorkan rahsia yang Mira minatkan dirinya. Bertambah-tambah rasa menyampah di dalam hati terhadap Mira. Gemuk gedempol macam belon, ada hati nak kat aku! Specky pulak tu. Macam mata lalat!
Izzad bukan setakat menyakat, tapi kadang-kadang menghina. Entahlah, masa tu tak timbul rasa bersalah atau berdosa. Gemuk atau kurus penampilan seseorang, itu bukan ukurannya. Semuanya sama di sisi Allah. Tapi Izzad tak pernah cuba untuk fikirkan tentang itu. Yang dia tahu, gemuk=buruk. So, tak layak seorang perempuan buruk menyukai dirinya. Tak setaraf dengan dirinya yang ketika itu sangat popular di sekolahnya.
“Mok! Dah makan ke belum? Nampak perut tu macam kempis je. Takkan diet kot?” tegur Izzad pada Mira ketika dia dan rakan-rakannya melangkah masuk ke perpustakaan.
Mira tidak menjawab.
“Eh, kenapa diam je, belon? Kan cik abang yang awak suka sedang bertanya ni?” sampuk Ehsan pula. Mira masih diam. Diteruskan tugasnya untuk menyusun buku-buku di rak tanpa mempedulikan Izzad dan rakan-rakannya.
“Dia nak title baru kot,” ujar Izzad.
“Title apa?” balas Ehsan.
“Pekak, pekak badak! So, jadilah Mira Badak!”
“Kah! Kah! Kah!” semua rakan-rakan Izzad menghamburkan tawa masing-masing tanpa rasa bersalah.
Mira buat tidak peduli dan terus melakukan tugasnya tanpa bersuara. Ulu hatinya sudah terasa pedih ibarat dicucuk sembilu. Kakinya terasa lemah sekali untuk berdiri. Namun tangannya masih tangkas membuat kerja-kerja yang sepatutnya. Biarlah mereka! Ditahan airmata agar tidak jatuh. Sebenarnya kalau diikutkan hati, ingin saja dia pulang ke rumah. Tapi petang ini giliran dia bertugas di perpustakaan. Kalau balik tanpa sebab kukuh nanti cikgu marah pula.
“Tak baik kau cakap macam tu, Zad. Dia manusia biasa. Ada hati dan perasaan, perempuan pula tu,” nasihat seorang rakan.
“Please lah beb! Jangan lah kau nak berjiwang karat dengan aku. Pada aku senang, kalau dah buruk buat cara buruk. Sedar diri sikit okay,” balas Izzad angkuh.
“Entah. Cuba kau imagine si Izzad ni bersanding atas pelamin dengan si debab tu. Sesuai ke? Tak sesuaiii dek non….!!” Sampuk rakan yang lain menyokong kata-kata Izzad.
“Roboh pelamin, bro!”
“Izzad penyek dihempap si debab!”
“Hahahahaha!” berderai tawa mereka beramai-ramai. Ramai mata memandang kerana mereka membuat bising di dalam perpustakaan. Mira cuma diam membatu. Airmata akhirnya menitis jua. Perlahan tanpa disedari. Sakit hatinya tidak terkira. Dia malas mahu menegur apa-apa. Mereka nak buat bising atau apa, suka hati merekalah.  Dia sudah pun dikutuk walau tidak berkata apa-apa, kalau tegur sekarang mungkin dihamun pula.
Izzad dan rakan-rakannya adalah senior Mira. Mereka akan mengambil peperiksaan SPM tidak lama lagi. Tinggal dua bulan sahaja. Pada Mira, kalau selama ini dia boleh bersabar, inikan pula dua bulan lagi. Selepas itu mereka takkan kembali lagi ke sekolah ini. Hidupnya akan jadi aman. So, biarlah mereka nak kata apa sekalipun. Mira tak kisah. Telinga Mira dah naik lali dengan ejekan demi ejekan yang mereka lemparkan sejak dari sekolah rendah lagi. Mira pun ingin jadi cantik, kurus, macam budak perempuan yang lain. Tapi apakan daya, memang tubuhnya ‘sihat’ sejak dari kecil lagi. Kalau Mira diet melampau, nanti sakit gastriknya datang menyerang pula. Habis, nak buat macamana lagi?
Kadang-kadang Mira jadi tak faham. Kenapa boleh tersebar berita yang mengatakan dia minat pada si Izzad tu? Benar, dia pernah menceritakan pada rakan-rakan perempuan di sekolah. Tapi dia masih ingat lagi kata-kata yang dikeluarkan. “Izzad tu memang idola aku. Macam-macam aktiviti dia buat, tapi masih cemerlang dalam pelajaran. Aku minat orang macam tu. Harap-harap aku boleh jadi macam dia bila form five nanti.”
Adakah itu bermaksud dia minatkan Izzad atas sebab-sebab lain? Rasanya tidak. Memang Izzad tu suka sakitkan hatinya. Dia sendiri benci bila Izzad mula memperkecilkan hatinya. Tapi di sudut yang lain, dia tetap kagum dengan perangai positif yang ada pada Izzad. Memang Mira suka orang yang begitu. Benar dia ingin menjadi seperti Izzad. Tapi bukan menjadi isteri Izzad! Sebesar zarah pun tiada keinginan dalam hatinya untuk menjadi pasangan hidup Izzad yang celupar tu.
****
Mira terkejut sebaik melihat isi kandungan di dalam beg plastic yang baru diterimanya sebentar tadi. Sedozen besar Super Ring! Siapa bagi ni, desis hati kecilnya.
“Siapa bagi, ayah?” tanya Mira.
“Entah. Ayah buang sampah tadi. Nampak kat tepi tong. Ingatkan sampah, rupa-rupanya benda tu. Dalam tu ada kertas, Mira. Untuk Mira. Tu ayah bagi kat Mira tu.”
Mira mengerutkan kening. Wow, siapa peminat misteri aku ni?
Izzad: [Hi, Mira. Please say thanks to this no – 019XXXXXXX. From Izzad.]
Mira tergelak di dalam hati. Izzad rupanya. Dah balik Malaysia ke dia? Pantas Mira bangun dan mengambil telefon bimbitnya untuk mengucapkan terima kasih kepada Izzad.
Mira: [Thanks for the Super Ring. Bila balik sini?]
Izzad gembira dengan SMS yang diterimanya. Hatinya berbunga riang. Mereka saling berbalas SMS sejak daripada itu. Saling bertanya khabar, bercerita keadaan masing-masing. Izzad benar-benar tidak menyangka akan penerimaan baik daripada Mira. Sangkanya, Mira masih marahkan dirinya.
Ala, tu cerita lama. Saya dah lupakan,” ujar Mira ketika mereka sedang minum di sebuah restoran di Petaling Jaya.
Izzad bersyukur. Sungguh, Mira benar-benar seorang yang rasional. Dia tidak pernah berdendam dengan Izzad selama ini. Perasaan marahnya pada Izzad seakan lenyap dek jarak sembilan tahun perpisahan mereka. Izzad menyambung pelajarannya ke luar negara setelah keputusan SPM diterima. Selepas habis belajar, dia bekerja di sana. Mira kagum, secelupar-celupar mulut Izzad dia masih ada akal fikiran untuk jadi manusia berguna. Dia sendiri tidak mampu untuk belajar hingga ke luar negara. Dalam negara sudah cukup baginya. Lagi pula, Izzad anak tunggal berbanding Mira yang ada lima lagi adik dibawahnya.
Hubugan Izzad dengan Mira berjalan dengan baik meski tidak pernah terkeluar perkataan ‘suka’ atau ‘sayang’ di mulut masing-masing. Izzad tidak mahu nampak terburu-buru. Baru tiga bulan.  Namun hatinya sudah terikat dengan sifat-sifat semulajadi dalam diri Mira. Budi pekerti, budi bahasa, semuanya menjadi igauan Izzad. Dia nekad. Tiga bulan lagi dia mesti suruh mama masuk meminang Mira. Bagi Mira surprise sikit.
Tidak ada apa yang hendak ditunggunya lagi. Sudah puas dia hidup enjoy di negara mat salleh dulu. Teman wanita keliling pinggang. Tapi bukan dia yang mencari, mereka yang tergila-gilakan dia. Izzad bukannya gemar bercinta-cinta dengan wanita ni. Entahlah. Mungkin belum sampai seru. Izzad sendiri hairan. Kacak sangat ke aku ni? Cewwwaaahhh….!!
Dengan Mira, dia jadi lemah. Dia kalah pada egonya sendiri. Mira buatkan dia jadi sasau dan angau. Mira ibarat tulang rusuk yang diciptakan untuknya. Mira itu. Mira ini. Minta-mintalah Mira sudi jadi isterinya. Pleaseeee Mira, will you marry me?
****
Izzad tersedar daripada tidur yang agak lama. Sunyi dan sepi saja rumah ini. Mana mama dan papa ya? Dengan langkah yang malas dia menuju ke dapur. Takde orang. Tiada bunyi apa-apa pun kecuali bunyi motor fridge. Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.00 petang. Belum solat Asar lagi. Izzad menuju ke bilik air, membasuh muka dan mengambil wudu’. Selesai solat dia meninjau apa yang ada dibawah tudung saji di meja makan. Wowww… bubur kacang hijau… enaknya…!!
Sedang Izzad enak menikmati juadah bubur kacang sambil menonton tv, tiba-tiba mama dan papa masuk ke dalam rumah. Izzad menoleh. Amboi, pakai lawa-lawa dari mana ni?
“Ha, dah bangun Izzad? Tidur mati ke apa kamu ni? Mama kejut berkali-kali tak nak bangun,” mamanya bersuara sambil membuka selendang.
“Penat sangatlah, ma. Orang kan balik lambat semalam,” balas Izzad membela diri. “Mama pergi mana?”
“Pergi rumah Pakcik Jauhari tu. Anak dia bertunang lepas Asar tadi,” jawab mama selamba. Sementara Izzad, wajahnya terus berubah. Suapan terhenti. Dadanya berdebar. Anak Pakcik Jauhari yang mana satu bertunang ni? Mira tak cakap apa-apa pulak kat aku fasal ni.
“Anak dia yang sulung tu lah. Budak Mira tu. Yang kamu dok intai-intai tu. Nasib baik mama tak pinangkan dia untuk kamu. Kalau tak buat malu je, orang tu rupanya dah berpunya…” bebel mama entah apa-apa lagi. Izzad dah tak dengar lagi lepas tu. Point penting kat sini, Mira yang bertunang lepas Asar tadi! What? Mira bertunang? Kenapa dia tak cakap apa-apa sebelum ni? Mustahil ni.
“Kamu berkawan dengan dia kan sejak dua tiga bulan ni. Dia tak cakap ke kat kamu dia nak bertunang?”
Izzad menggeleng.
“Itulah… orang-orang kat sini pun tak tahu dia nak bertunang. Mama pun dapat call dari mak si Mira tengahari tadi. Ingat nak ajak kamu sekali. Tapi membuta, tak sedar diri,” sambung mama. Kemudian dia bangun dan menuju ke dapur. Pandangan Izzad mengekori langkah mamanya ke dapur tanpa bersuara apa-apa.
Tekaknya terasa dijerut. Dia masih tidak percaya dengan kenyataan mama tadi. Betul ke Mira Juliana yang bertunang?
Izzad cuba menghubungi telefon bimbit Mira. Tetapi tak dijawab. Sah, Mira mesti tengah sibuk layan tetamu. SMS dihantar.
Izzad: [Betul ke Mira bertunang?]
Lama Izzad menantikan jawapan. Sehingga jam 9 malam, barulah SMS itu dibalas.
Mira: [Ya, saya dah bertunang. Baru petang tadi]
Izzad memejamkan mata rapat-rapat. Sebak rasanya hati. Nafasnya rasa tersekat. Pilu. Marah. Geram. Malu. Sedih. Kecewa. Semua ada. Dadanya terasa dihimpit. Kenapa Mira buat macam ni?
Izzad: [Saya nak jumpa awak]
Mira: [Ok]
“Kenapa Mira tak cakap nak bertunang?”
“Sebab awak tak pernah tanya.”
“Maknanya Mira dah ada steady boyfriend lah sebelum ni?”
Mira tersenyum. “Of course laa… dah lama saya kawan dengan tunang saya ni.”
“Mira tak pernah cerita pun tentang dia?”
Mira senyum lagi. “Izzad, bukan salah saya tau. Awak pun tak pernah tanya. Takkan tiba-tiba saya nak cakap saya ada steady boyfriend. Let’s say saya cakap kat awak, ‘Izzad, saya dah ada steady boy tau’. Then kalau awak kata ‘so what?’ Apa saya nak kata? Malulah saya kan. Logik tak?”
“That is not the problem!” Izzad mula rasa tercabar. Sungguh, pertama kali dalam hidupnya dia rasa dipermainkan oleh seorang wanita yang boleh dikategorikan sebagai perempuan baik-baik.
“Ok, so what’s the problem? I’m engaged. Apa lagi yang awak nak tanya dekat saya?”
“Mira tahu kan perasaan saya pada Mira?” soalan yang dikeluarkan Izzad bersama debaran yang tidak henti. Persoalan hati inilah yang tidak pernah mereka bincangkan sepanjang hubungan mereka.
“Saya rasa Izzad anggap saya macam kawan. Atau kawan baik,” jawab Mira bersahaja.
“Mira rasa saya layan Mira macam kawan biasa sahaja?”
Mira tidak menjawab.
“I miss you! Can’t wait to see you tomorrow! See you in my dream! Good nite, luv! SMS macam tu untuk kawan biasa je? Mira jangan buat-buat tak tahu lah. Please lah, Mira. Don’t try to fool me.”
Mira menghela nafas berat. “Izzad, saya nak tanya. Macamana pula layanan saya terhadap awak? Apa yang awak rasa? Adakah saya layan awak lebih dari kawan?”
“Iya, saya tahu awak layan saya macam biasa saja. Saya sedar. Tapi saya sangka Mira ni pemalu. Mungkin Mira malu nak jawab SMS saya tu. Tapi saya tengok, Mira sudi keluar dengan saya. Jawab SMS saya. Bagi nasihat bila saya perlukan seseorang. Melayan saya berborak sampai larut malam. Tu semua apa, Mira? Mira mengaku je lah memang Mira main-mainkan saya. Tak payah berdalih lagi!”
Mira diam. Dia membiarkan Izzad meluahkan dulu apa yang terbuku di hati supaya dia berasa lebih tenang. Mira ada jawapan tersendiri kenapa dia lakukan semua ini.
“Ok, kalau sekarang saya cakap saya sayangkan Mira, will you call off your engagement?”
Mira senyum. “Saya sayangkan tunang saya, Izzad. Saya ingin dia jadi suami saya.”
“Mira penipu!”
Mira mengerutkan dahi. “Izzad, saya tak pernah janji apa-apa dengan awak. Apa yang saya tipu?”
“Mira mainkan perasaan saya. Saya malu tau tak? Mama pun dah tahu pasal Mira. Saya cuma tunggu masa untuk berterus-terang. Saya perlukan beberapa bulan je lagi untuk meminang Mira. Tapi tak sangka Mira buat saya macam ni,” lirih suara itu, penuh kesal.
Mira diam. Dia tahu dia tidak menipu. Rasanya dia tidak pernah beri harapan pada Izzad. Kalau mereka keluar, bukan berdua. Pasti adik bongsu Mira diajak sama. Setiap SMS daripada pihak Mira, tidak pernah sekalipun perkataan rindu atau sayang yang keluar. Mira tidak pernah telefon Izzad untuk bergayut lama-lama. Semuanya Izzad yang lakukan. Jadi, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ni?
Tak mungkin Mira akan meninggalkan tunang yang telah banyak berjasa pada dirinya. Tunang yang sentiasa memberi sokongan moral tidak mengira siang atau malam. Dimana saja, Mira dilayan bagaikan menatang minyak yang penuh. Mira terlalu hargai pengorbanan tunangnya. Hubungan mereka juga sudah lama. Semenjak Mira tingkatan tiga dan tunangnya tingkatan lima. Takkan Mira ingin putuskan begitu sahaja? Hanya kerana Izzad yang tiba-tiba akrab padanya sejak tiga bulan ini, hubungan sepuluh tahun ini hendak diputuskan begitu sahaja?
Tunang Mira, menerima dirinya seadanya sejak dulu lagi. Seadanya. Rupa paras atau fizikal Mira tidak pernah dipersoalkan. Persoalan yang sensitif itu tidak pernah timbul. Dia begitu berhati-hati menjaga hubungan mereka. Bila Izzad menghinanya, tunang Mira akan meredakan keadaan. Memujuknya. Jadi, haruskah Mira membalasnya dengan memutuskan ikatan pertunangan mereka ini? Pleaseee lah, Izzad…!
“Siapa tunang Mira tu? Hebat sangat ke dia?” Izzad bertanya sinis.
“Mmm… awak kenal dia,” jawab Mira. Izzad agak terkejut.
“Amri. Mohd Amri bin Mustaffa,” terang Mira tanpa berselindung. Sudah sampai masanya Mira berterus-terang dengan Izzad untuk menghuraikan segala kekeliruan ini. Kekeliruan yang dicipta oleh Izzad sendiri.
What?! “ Amri?” soal Izzad.
“Iya. Dialah orangnya. Dialah lelaki yang menjadi kekuatan saya selama ini. Semasa heboh satu sekolah mengatakan saya minat awak, dia telah pun menjadi teman lelaki saya. Dan untuk pengetahuan awak, saya sebenarnya minat cara awak uruskan pelajaran awak selari dengan aktiviti-aktiviti sekolah awak. Itu sahaja. Saya minta maaf kalau awak tersalah faham. Dan saya minta maaf sekali lagi, sebenarnya memang ada terdetik sedikit dalam hati saya untuk memberi pengajaran pada awak. Sebab tu lah saya setuju menjadi kawan awak. Cuma, awak yang salah faham layanan saya.”
Izzad diam tidak terkata. Terdetik sedikit dalam hati untuk beri pengajaran pada aku? Maknanya memang nak balas dendam kan? Izzad bersoal jawab di hati. Dia sedih. Benar-benar kecewa.
“Oh, awak lah si ‘Jue’ tu ya?” soal Izzad. Baru dia teringat tentang girlfriend Amri waktu sekolah dahulu yang digelar oleh Amri sebagai ‘Jue’. Kata Amri, Jue ialah teman rapat sepupunya dan bersekolah di tempat yang lain. Pandai betul mereka alasan. Teman rapat sepupu konon! Bila kawan-kawan minta diperkenalkan, Amri menolak. Mungkin Amri juga malu untuk perkenalkan Mira ketika itu. Maklum sajalah…
“Iya, Amri panggil saya Jue. Dia kata lebih mesra. Dan juga, saya yang minta dia rahsiakan dari semua orang. Sebenarnya Amri tak kisah kalau kami berterus-terang. Dia pun tak perlu nak sorok-sorok dengan korang semua. Tapi saya yang tak bagi. Saya tak mahu Amri pula jadi bahan ejekan korang. Cukuplah saya sorang,” jelas Mira bagai menjawab semua persoalan Izzad.
Izzad terkedu seketika. Mulianya hati Amri. Patutlah dia seorang saja yang selalu mempertahankan Mira. Rupa-rupanya dia teman lelaki Mira ketika itu.
Sememangnya Amri bertuah. Dia sudah nampak siapa diri Mira yang sebenarnya sepuluh tahun yang lalu. Tapi dirinya sendiri? Dia cuma nampak fizikal Mira yang hodoh saja ketika itu. Dia buta dalam menilai sifat manusia. Dia tidak nampak apa yang tersembunyi. Dia tidak mencari apa yang tersirat. Kalaulah masa boleh berputar kembali…
“Err… ada apa-apa lagi?” teguran Mira membuatkan lamunannya tersentak.
“Mira… kan Mira cakap dah maafkan saya…”
“Memang saya dah maafkan awak.”
“Jadi, takkan Mira tak boleh menerima saya?” Izzad masih mencuba nasib. Manalah tahu…
Mira sekadar tersenyum. Manis. Dan Izzad sangat faham akan jawapannya.
***
Izzad menekan butang interkom.
“Ya, Encik Izzad?” sahut setiausahanya.
“Tolong batalkan semua appointment saya hari ni. Dan saya tak mahu jumpa sesiapa pun hari ni. Ada kerja sikit nak buat,” Izzad memberi arahan. ‘Ada kerja sikit nak buat’, sekadar alasan. Dia sebenarnya mahu menenangkan fikiran yang tidak menentu.
SMS yang diterima dibaca berulang kali.
Amri: [Jue selamat melahirkan baby boy malam tadi]
Izzad mengeluh. Sudah setahun lebih peristiwa itu berlaku tetapi hatinya belum betul-betul sembuh lagi. Bukan dia tidak cuba. Sudah puas dia mengingatkan diri supaya menerima qada’ dan qadar dari Ilahi. Mira Juliana bukan diciptakan untuknya. Kenapa hati ini tidak mahu menerima? Kenapa hatinya benar-benar susah untuk melupakan gadis comel itu. Padahal dia cuma rapat dengan Mira selama tiga bulan sahaja!
Entahlah… Izzad mendengus perlahan. Mungkin ini balasan Allah, diciptakan rasa kasih yang tidak terhingga terhadap Mira dan kemudian diberi pula perasaan sedih, pilu dan kecewa yang amat dalam hinggakan dia masih tidak mampu membuang nama Mira Juliana dari hatinya. Entah bila nama itu akan dibuang, dia tidak pasti. Kesalnya dia kerana terlalu mengikutkan nafsu yang sombong dan bongkak suatu ketika dulu.
“Dulu budak tu buruk, dikutuk-kutuk, dikeji-keji. Sekarang budak tu dah cantik, dipuji-dipuji pula. Memang patut pun dia tak mahukan kamu. Kalau mama, mama pun tak nak! Sekarang ni, padanlah muka kamu. Lain kali kalau nak bercakap tu, biar bertapis sikit. Jaga mulut tu.”
Kata-kata mama masih terngiang-ngiang di telinga sewaktu dia meluahkan rasa hati suatu ketika dulu. Pedas. Izzad tersenyum sendiri. Mama memang betul. Apalah yang ada pada dirinya untuk membuatkan Mira tertarik? Hinaan demi hinaan dilemparkan pada Mira hampir setiap masa. Namun Mira tidak pernah marah atau melawan kata-katanya. Paling tidak pun, dia memasamkan muka. Sayunya bila dia memikirkan kenangan itu.
“Moga ada perempuan setabah dan secantik hatimu untuk aku jadikan isteri. Moga bertemu.” Izzad berbisik pada diri sendiri.

~ the end ~.

No comments:

Post a Comment