Wednesday 25 January 2012

Air Tangan Mak

Mak sedang membancuh tepung waktu Ayah pulang dari kerja. Ayah menghampiri Mak. Mak mengerling memandang Ayah.

“Dah balik? Sekejap, baru nak buat jemput-jemput,” tegur Mak.

Ayah senyum pendek. Wajahnya kelihatan ingin memberitahu sesuatu. Mak dapat baca isi hati Ayah.

“Kenapa ni, bang?”

Ayah tenung wajah Mak. Dia seperti teragak-agak hendak memberitahu. Dia takut Mak susah hati.

“Err… apa ni… mmm… si apa tu…” masih lagi Ayah tak boleh nak luahkan.

Mak tiba-tiba berdebar. “Kenapa? Cakap ajelah!” gesa Mak.

“Tak… si apa tu… Mastura…” tak dapat ayah nak habiskan.

Tapi Mak dapat tangkap maksud Ayah. Mak sangat faham. Mak renung bekas berisi bancuhan tepung. Hilang terus niat nak masak jemput-jemput.

Malam itu, Mak tak dapat tidur. Hati Mak gundah. Resah. Kacau. Keliru. Mak mundar-mandir di ruang tamu. Ayah dah lama tidur. Kata-kata Ayah siang tadi sangat mengganggu hati Mak.

“Abang nampak dia makan dengan Mastura. Mastura pun dah tak pakai tudung lagi. Lain benar wajah dia. Tapi bila abang perhatikan betul-betul, memang Mastura.”

Mastura dah balik sini? Bila dia balik? Patutlah sejak dua tiga minggu ni, Afiq nampak lain benar lakunya. Rasanya dah dua minggu cuti semester berlalu, tapi Afiq baru pulang dua hari saja. Katanya, ada kerja sambilan yang dia lakukan di sekitar kolej. Afiq bersama Masturakah?

Memikirkan Afiq bersama Mastura, membuatkan hati Mak bertambah runsing. Mak bukan tak suka kalau itu terjadi. Bukan! Mastura ibu kandung Afiq. Memang patut Afiq bersama ibu sendiri. Mak tahu tu. Tapi, jauh di sudut hati Mak dah sayangkan Afiq macam anak sendiri. Mak dah  bela dia sejak usia enam tahun lagi. Sekarang Afiq dah dua puluh satu tahun! Lima belas tahun Mak bela Afiq. Mak dah tak rasa Afiq anak Mastura. Mak rasa Afiq anak Mak. Macam mana Mak nak serahkan anak Mak pada orang lain, walaupun orang lain itu adalah ibu kandung Afiq sendiri? Macam mana? Apa yang Mak patut buat?

Dulu, waktu Mastura tinggalkan Afiq pada Mak, dia janji untuk sementara saja. Dia janji akan datang ambil Afiq semula. Cuma untuk sementara. Tapi, lima belas tahun berlalu begitu saja. Setiap kali berhubung dengan Mastura, dia minta tempoh daripada Mak untuk jaga Afiq lagi. Setiap kali itu jugalah, Mak setuju. Mastura cakap, suami orang putihnya tak sukakan Afiq. Sebab itulah Mastura tak bawa Afiq pergi dengan dia.

Mak sangat kasihan dengan nasib Afiq. Sekecil umur empat tahun, hidupnya mula terumbang-ambing. Mastura dengan ayah kandung Afiq, mula berantakan. Mastura benci pada kemiskinan. Bekas suaminya tak mampu memberi apa yang dia mahukan. Sudahlah begitu, Mastura selalu dipukul. Dia mula menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain. Hinggalah pada suatu hari, mereka bercerai. Dalam kekalutan, bekas suami mengugut untuk melarang Mastura berjumpa Afiq lagi. Mastura takut. Dia takut kehilangan Afiq buat selamanya. Sebab itu dia serahkan Afiq pada Mak. Dia tahu bekas suaminya tak dapat cari Mak yang duduk di kampung. Dan dia sendiri, terus lari ke luar negara bersama orang putih itu.

Mulanya Mak rasa hairan. Kenapa serahkan Afiq padanya sedangkan Mak tahu, Mastura sangat sayang pada Afiq. Kenapa tak bawa saja Afiq ke negara orang putih tu. Setelah dia berkahwin, baru Mak tahu. Suami barunya tidak sukakan Afiq. Jadi, Mastura ambil keputusan untuk serahkan pada Mak. Supaya senang untuk dia berjumpa Afiq nanti. Kalau dia beri pada ahli keluarga, bekas suaminya pasti dapat cari. Mak teman rapat Mastura di kampung. Bekas suaminya tak kenal sangat dengan Mak. Jadi Mak ialah tempat terbaik untuk Afiq dapat perlindungan dan kasih sayang.

Kasih sayang?

Iya, Mak curahkan sepenuh kasih dan sayangnya pada Afiq, melebihi anak sendiri. Anak Mak ada tiga orang. Satu perempuan dan dua lelaki. Tapi hubungan anak-anak Mak dengan Afiq tak begitu baik. Terutama dengan anak perempuan Mak, Wani. Wani tak suka Mak melebih-lebihkan Afiq. Sejak Mak bela dia, Wani kurang perhatian. Selalu Mak marahkan dia kalau dia bergaduh dengan Afiq. Mak bukan nak lebihkan Afiq, tapi Mak kasihan pada dia. Dia masih kecil, tak tahu apa yang berlaku dengan dirinya. Kenapa tiba-tiba duduk dengan Mak pula? Orang yang dia langsung tak kenal. Afiq selalu memberontak, marah-marah, nangis-nangis nak jumpa Mastura. Dia rindu ibunya. Tapi, macam mana? Mastura dah pergi jauh waktu itu. Jadi untuk kurangkan kemarahan Afiq, Mak selalu lebih dalam melayan kerenah Afiq. Mak tak mahu Afiq kurang kasih dan sayang. Cukuplah dia hilang ibu dan ayahnya. Mak tak mahu hati Afiq terluka lagi.

“Mak, tak tidur lagi?” tegur Wani. Pelik bila tengok jam dah pukul 11 malam tapi Mak termenung sorang-sorang di ruang tamu. Selalunya Mak masuk tidur sebelum pukul 10 lagi.

Mak tak jawab tapi sebenarnya Wani dah tahu kenapa Mak jadi begitu.

“Mak, biarlah budak tu balik kat ibu dia. Dia bukannya anak mak pun. Buat apa mak nak runsing kepala fikir pasal dia?”

“Kamu cakap apa ni, Wani?” Mak berang. Pantang betul dia kalau orang cakap Afiq ‘bukan anak dia’.

Wani diam. Dia sudah tahu natijahnya jika bercakap buruk tentang Afiq.

“Agaknya Wani yang suruh Afiq balik pada ibu dia kan? Kan Wani tak suka dia,” tuduh Mak tiba-tiba. Entah kenapa emosi Mak macam tak dapat dikawal.

Berdesing telinga Wani dibuatnya. Terasa bahang wajahnya menahan amarah yang mendatang. Setiap kali Afiq berperangai gila, mesti dia yang menjadi mangsa marah Mak. Tiba-tiba Ayah datang menghampiri mereka. Mungkin baru terjaga.

“Sudahlah maknya. Betul juga cakap Wani. Ibunya ada lagi. Takkan dia nak duduk sini lagi. Mesti dia nak duduk dengan ibunya. Lagipun rumah ibunya mesti lagi besar dari rumah kita. Tentu dia suka. Dia pun selalu…”

“Saya tak rasa Afiq macam tu, bang!” pintas Mak. “Mesti ada sebabnya kenapa kali ni paling lama dia tak balik. Walaupun Afiq tu tak suka saya jadi maknya, tapi dia tak pernah tak balik rumah,” Mak balas dengan keras kata-kata Ayah. Mak tak percaya dengan kata orang lain. Mak percaya dengan kata hati Mak. Mak tahu Afiq mesti sayangkan Mak juga walaupun Afiq tak tunjuk.

Rasa tak sanggup Wani duduk lama di situ lagi. Dia masuk ke biliknya lalu menutup pintu. Mak selalu lebihkan Afiq dari aku! Daripada rasa marah, hatinya dibaluti kesedihan yang tidak terkata. Sekeping gambar dalam laci diambil. Wani usap-usap gambar itu. Gambar Mak dengan dia waktu Afiq belum masuk dalam rumah ini. Belum muncul lagi dalam hidup mereka. Wani menangis semahu-mahunya sambil mukanya ditekupkan atas bantal. Wani tersangat sedih. Sejak Afiq datang, dia jadi nombor dua. Afiq dilayan seperti seorang anak raja. Wani benci!

Sejak lima belas tahun lamanya Wani memendam rasa. Wani tak pasti apa yang adik-adik Wani rasa tapi Wani rasa cukup tercabar. Mula-mula Afiq datang, dia tidur atas katil dengan Mak. Wani tidur bawah dengan adik-adik. Bila Afiq menangis teringatkan ibunya, Mak peluk dia kuat-kuat dan sabarkan dia. Wani hanya memandang dengan pedih di hati. Mak tak selalu lagi peluk Wani selepas Afiq ada. Kalau mereka dapat apa-apa makanan, kena bagi Afiq dulu. Yang lebih-lebih baru Wani dapat. Kalau pergi jalan-jalan, Mak akan tanya Afiq dulu kalau dia nak apa-apa dan semua yang lain-lain akan turuti tempat apa yang dia mahukan. Kalau Wani ada sesuatu dan Afiq mahukan itu, Wani kena beri sebab Mak suruh. Kalau Wani bantah, mesti Wani kena marah. Kalau Wani marah-marah, mesti Mak pukul. Dan Mak selalu pukul Wani disebabkan Afiq.

Sehingga kini, Wani tak pasti kenapa Mak tak pernah sayangkan Wani seadanya. Kalau Afiq balik rumah lambat sikit, Mak sibuk-sibuk suruh cari. Wani dengan adik-adik akan pergi cari sekeliling kampung dengan basikal mereka. Kalau Afiq jatuh sakit, lagilah macam-macam Wani kena bantu. Dia nak makan itu, Wani kena tolong masakkan. Kalau bahan itu tak ada, Wani kena pergi kedai belikan. Tapi kalau Wani sakit? Ada Afiq tolong apa-apa? Kadang-kadang Wani keliru, adakah Wani atau Afiq anak kandung Mak? Wani hilang perhatian sejak Afiq datang. Itu belum masuk peperiksaan lagi. Kalau Afiq tengah belajar, satu rumah kena senyap. Wani tak dapat tengok t.v. dan tak boleh dengar radio. Jauh sekali ajak kawan-kawan datang rumah. Nanti bising, kata Mak. Kalau sekolah ada apa-apa aktiviti dan perlukan Mak dan Ayah datang, mesti Mak dulukan Afiq dulu. Kalau kad laporan sekolah dah keluar, Mak sibuk-sibuk nak tengok Afiq punya keputusan. Dan Mak terlupa nak tengok Wani punya sampai Wani kena tunjuk sendiri dekat Mak. Kalau Afiq dapat keputusan bagus, Mak siap belikan dia hadiah besar. Untuk Wani, Mak beli juga tapi hadiah kecil saja.

Ah! Kalau nak diingatkan, macam-macam yang Afiq dah buat. Namun, selagi Afiq masih di rumah ni, selagi itulah Wani dan adik-adik akan terpinggir dengan Mak. Sebelum cuti semester hari tu, Wani ada bertekak sikit dengan Afiq.

“Cantik gitar kau. Mak belikan untuk hari jadi kau kan?” tanya Wani.

Afiq diam.

“Mak tak belikan aku apa pun untuk hari jadi aku. Dia cuma masakkan lauk kegemaran aku je malam tu. Dia tu mak kau ke mak aku, ya?” soal Wani sinis.

Ada masalah ke?” soal Afiq kembali.

Wani jadi marah tiba-tiba. “Mestilah. Itu mak aku, bukan mak kau. Dalam hati dia, asyik pasal kau aje. Habis aku?”

“Dah mak kau sayang aku lebih, aku nak buat macam mana? Suka hati dialah nak sayang siapa lebih!” Afiq cakap kasar.

Hati Wani rasa sebak. Bergenang air mata dia mendengarkan kata-kata Afiq. “Afiq, mak mesti akan marah aku balik kalau dia dapat tahu aku marah kau. Tapi, kalau kau marah aku, mak tetap akan salahkan aku sebab buat kau marah. Dalam rumah ni, semuanya untuk kau. Aku ni, tak ada tempat dalam hati mak. Semuanya untuk kau. Kalau apa-apa yang berkaitan dengan kau, aku tak pernah betul, aku sentiasa salah. Walaupun itu mak aku, tapi dia tak nampak aku macam anak dia. Sebab dia sayangkan kau lebih dari semuanya. Kau rasa, apa perasaan aku?”

Afiq diam. Wajah Wani dipandang lama.

“Kau beruntung Afiq. Mak kau jauh entah kat mana, tapi kau ada penggantinya. Tapi aku, mak sentiasa di depan mata. Tapi aku jauh dari hati dia. Terima kasih, Afiq. Buat aku macam ni,” ujar Wani penuh emosi. Memang sudah lama dia ingin luahkan apa yang dipendamnya.

Afiq mengeluh lemah. Kalau itulah pandangan Wani, Afiq harus berbuat sesuatu. Bukan niat dia menjauhkan anak daripada maknya. Dia cuma menumpang kasih seorang wanita bernama ‘emak’. Tapi kalau itu menjadi kebencian Wani, dia akan tinggal dengan ibunya. Biarlah Mak dan Wani semakin rapat sewaktu ketiadaannya. Mesej yang dihantar ibunya baru-baru ini dibaca.

‘Afiq sayang, stay with me this semester break please? Luv u – ibu’

Wani tahu Afiq tinggal bersama ibunya. Kembalinya ibu Afiq ke Malaysia sebenarnya sudah lebih  empat bulan. Selalu Afiq diajak ke rumah ibunya tapi Afiq menolak. Ibunya juga tidak memaksa. Afiq takut Mak sedih. Namun sejak dia meluahkan rasa hatinya malam itu, Afiq tinggal bersama ibunya tanpa pengetahuan Mak dan Ayah.

Entah macam mana, Ayah ternampak Afiq dengan ibunya siang tadi. Dan seperti dijangka, Mak jadi murung sebegini. Wani pasti, keadaan ini pasti berlarutan sampailah Afiq balik. Kalau Wani tahu jadi macam ni, biarlah Wani saja mengalah. Wani ambil telefon bimbit.

‘Afiq, baliklah rumah. Mak rindu.’

Tak sampai lima minit, mesej dibalas. ‘Kau tak marah ke kalau aku balik?’

‘Biarlah dgn aku. Kau balik jelah. Kesian mak.’

‘Ok.’

Selepas solat Isya’ Wani terus tidur. Bertemankan air mata, Wani tahu dia tetap kalah dalam apa jua keadaan dengan Afiq. Wani sayangkan Mak, dan tak akan buat hati Mak terluka. Kalau Mak rasa dia lebih sayangkan Afiq dan lebih perlukan Afiq dalam hidupnya, dia akan beralah. Sebab Wani sayang mak!

Pukul 2.00 pagi Afiq pulang ke rumah Mak. Mak yang bukakan pintu untuk Afiq. Semua orang terjaga. Mak nangis-nangis peluk Afiq. Macam setahun tak jumpa. Afiq pun peluk mak erat-erat. Dia minta maaf sebab tipu Mak. Dia bukan pergi kerja, tapi duduk umah ibunya. Mak banyak kali tanya Afiq, dah tak sayang mak lagi ke? Afiq geleng kepalanya.

“Afiq sayang mak. Tapi ada urusan sikit, sebab tu kena tidur sana.”

“Afiq nak balik dengan ibu ya?”

Afiq geleng lagi. “Tak, mak. Afiq nak duduk sini kalau mak izinkan. Tapi, ibu pun rindukan Afiq. Sekali sekala boleh Afiq tidur rumah ibu?” tanya Afiq.

Mula-mula Mak diam. Lama-lama dia angguk perlahan.

“Sepatutnya Afiq ni, mak kena pulangkan pada ibu Afiq. Itu janji mak dulu.”

“Mak halau Afiq?”

Mak terkejut. “Kenapa Afiq cakap macam tu? Mak sayang Afiq tau!”

“Afiq tak nak tinggal dengan ibu. Afiq nak tinggal dengan mak.”

“Mak tahu. Tapi Afiq anak kandung ibu. Bukan mak. Nanti ibu marah mak pula.”

“Mak,” Afiq mengeluh. “Ibu dan Afiq dah bincang. Afiq akan tinggal dengan mak. Ibu cakap, dia takkan boleh jadi ibu yang baik untuk Afiq. Mak lebih berhak. Dia sendiri kekok bila dengan Afiq. Dia tak tahu apa yang Afiq suka, apa yang Afiq tak suka. Dia tak faham dengan kerenah Afiq. Dia kata, mak lagi tahu semuanya. Pilihan di tangan Afiq. Afiq yang pilih nak tinggal dengan siapa. Dan Afiq pilih mak. Afiq anak mak, kan?”

Mak peluk Afiq lagi, sambil nangis-nangis.

“Afiq rindu air tangan mak. Esok mak masak untuk Afiq ya?” pinta Afiq.

Mak angguk laju. “Apa yang Afiq nak, cakap saja. Esok mak masakkan. Tapi janji jangan buat mak macam ni lagi tau,” pinta Mak.

Afiq senyum. Hatinya lega berjumpa dengan Mak. Semuanya mengalirkan air mata termasuk Ayah. Adik-adiknya, Hazri dan Haikal dipeluknya selepas itu. Afiq tercari-cari Wani. Daripada dia balik, kelibat Wani langsung dia tak nampak.

Mak gembira betul malam ini. Hampir dua minggu tak bertemu, puas betul hatinya bila Afiq berada di rumah. Dan yang lebih penting, Mastura setuju serahkan Afiq padanya. Kalau berkesempatan, dia mesti ucapkan terima kasih pada Mastura.

Esok pagi-pagi, Mak bangun awal dan terus rebus nasi himpit. Wani dikejutnya supaya bantu Mak masak lontong. Afiq suka makan lontong. Wani bangun tanpa banyak bicara. Dulu, dia selalu membentak kalau Mak minta tolong perihal Afiq. Pagi ini, dia tak marah sikit pun. Walaupun Mak kurang sayang pada dia, tapi lihat Mak gembira, dia akan rasa gembira.

Selepas Subuh berjemaah, mereka bersarapan. Tapi Wani awal-awal sudah keluar. Katanya mahu ke kedai. Mak begitu gembira bila Afiq ada. Disuruhnya Afiq makan banyak-banyak. Dan Mak punya selera pun jadi banyak. Mak terlupa yang sewaktu Wani keluar, dia belum jamah apa pun. Mak juga terlupa apa pesanan Wani.

Pukul 10 pagi, baru Wani pulang. Perutnya rasa lapar. Dia buka tudung saji. Ha? Kosong! Dia intai atas dapur kalau ada lagi lebihan kuah lodeh dalam periuk. Kosong juga. Mak letak dalam peti sejuk ke? Wani buka peti sejuk. Memang tiada apa lagi yang tinggal.

Daripada dapur, Wani naik ke atas rumah. Mak sedang menjahit seluar entah siapa sambil bersembang-sembang dengan Afiq. Mak nampak ceria. Wani menghampiri dan duduk sebelah Mak.

“Mak, lontong dah habis ke?”

Terhenti tangan Mak. “Laa? Wani belum makan ke? Dah habis dah semuanya.”

“Habis dah? Wani laparlah, mak,” Wani ngongoi macam anak kecil.

Mak pandang wajah Wani. “Itulah, tadi Wani keluar awal-awal sangat pergi mana? Mak ingatkan Wani dah makan dah. Semua tadi seronok makan ramai-ramai, tak perasan pulak mak yang Wani tak makan lagi.”

“Mak tak perasan Wani tak makan lagi?” tanya Wani macam orang bodoh. Irama sendu mula berlagu dalam hatinya. Seingatnya dia dah pesan simpankan sikit untuk dia.

Afiq perhatikan ada air yang bertakung dalam mata Wani. Kemudian Wani bingkas bangun dan terus menuju ke pintu dapur.

“Wani, pergi mana tu?” tanya Mak.

“Mmm… tak apalah, mak. Wani pun nak ke pekan kejap. Jumpa Yati dengan Linda. Petang baru Wani balik ya,” jawabnya tanpa menoleh pandang muka Mak. Sebab air matanya sudah jatuh berjuraian tanpa dapat ditahan.

Sebaik basikal Wani keluar halaman rumah, Mak bersuara pada Afiq. “Alahai… mak baru teringat, tadi memang dia dah pesan suruh tinggalkan sikit lontong tu. Ishh.. lupa sungguh mak.”

Afiq hanya diam tanpa bersuara. Kalau sebelum ini, dia memang suka Mak lebihkan dirinya berbanding Wani. Tapi entah kenapa, tiba-tiba saat ini dia rasa perasaannya jadi lain.

Sejak dia dihantar Ibu ke rumah Mak, dia terpaksa terima semua keadaan baru dalam hidupnya. Cara makannya, pakainya, tidurnya semua berubah. Afiq tahu, Mak berhempas pulas menyediakan yang terbaik untuk dirinya. Sejak dia datang sini, Mak selalu beri perhatian lebih padanya. Dia terpaksa lupakan ayah kandungnya, terpaksa lupakan ibunya dan terpaksa lupakan semua sanak-saudara yang pernah ditemuinya. Waktu Ibu hantar dia ke sini, memang tiada siapa pun yang tahu ke mana Afiq pergi. Ibu suruh Mak rahsiakan semuanya.

Waktu kecil, Afiq memang suka memberontak. Dia mahu pulang ke rumah sendiri. Dia mahu jumpa kawan-kawannya semula. Dia mahu bermain di dalam biliknya sendiri. Dia benci dengan keluarga Mak. Dia cukup tak suka tinggal dengan Mak. Ditambah pula Wani yang selalu  mengejek dan mencemuh dirinya.

Lima belas tahun berlalu begitu saja. Lama-lama kasih Afiq mula beralih arah pada Mak. Bila Mak selalu berada di sisinya waktu dia susah, dia jadi sayang pada Mak. Afiq mula belajar menerima qada’ dan qadar yang sudah tertulis dalam perjalanan hidupnya. Tak mungkin dia akan hidup bersama Ibu lagi. Ibu juga jarang-jarang telefon bertanyakan khabar. Hanya sekali sekala. Ibu bukan macam Mak yang tak jemu-jemu mencurahkan kasih dan sayangnya setiap masa. Walaupun Afiq sedar, dia selalu lukakan hati Mak dengan sikap dinginnya. Ada juga kalanya, dia jadi kasar dan selalu membantah cakap Mak. Tapi Mak tak pernah marah dengan dia. Mak sentiasa sabar melayani kehendaknya.

Mula-mula dulu, memang dia selalu marah-marah dan  memberontak. Kerana dia ingin pulang ke rumahnya sendiri. Tapi lama-lama sifat itu jadi biasa dalam dirinya. Lagi-lagi bila lihat Mak akan cuba untuk puaskan hatinya bila dia tak puas hati. Ditambah pula dengan Wani yang selalu ingin rebut perhatian Mak, dia jadi tamak. Dia mahukan Mak sentiasa begitu. Sentiasa menghampakan Wani dan sentiasa menangkan dirinya. Dengan cara dingin sebegitu, Mak akan lebih memanjai dirinya. Akan lebih memberi perhatian padanya berbanding Wani. Afiq sukakan keadaan itu.

Tapi Wani tak suka. Dia selalu bergaduh dengan Wani di belakang Mak. Memang banyak pergaduhan yang timbul, akibat rasa tidak puas hati Wani terhadapnya. Macam-macam yang dia lakukan pada Wani sebenarnya. Sebab itulah Wani selalu cemburu dan tak puas hati. Tapi bila Mak menangkan dia, lebih-lebih lagi kalau Mak marah atau pukul Wani, dia akan rasa seperti dunia ini miliknya. Kalau boleh, dia tak mahu lihat Wani dalam rumah itu. Jauh dalam hatinya, dia harap Wani akan merajuk dan larikan diri ke mana-mana. Biar dia tinggal situ dengan Mak dan Ayah dan adik-adik Wani seperti keluarga lain yang bahagia.

Afiq sendiri tak tahu kenapa dia jadi begitu. Dia jadi tamak merebut kasih seorang ibu. Memang benar kata Wani, dia sentiasa betul pada mata Mak dan Wani pula sentiasa salah pada Mak!

Dia masih ingat kisah yang berlaku ketika Wani tingkatan tiga dan dia tingkatan empat. Malam itu Mak belikan Wani sebuah basikal baru sebab basikal yang lama dah rosak. Kerana cemburu, esoknya ketika pulang dari sekolah dia tunggu Wani di satu kawasan lengang yang tak ramai orang.

“Aku nak basikal ni. Kau ambil basikal aku,” kata Afiq keras.

“Apa pulak? Basikal ni mak beli untuk aku. Kan basikal kau baru je pakai enam bulan. Elok lagi kan? Kenapa kau nak tukar dengan aku pulak?” soal Wani tidak puas hati.

“Aku tak suka basikal ni. Basikal kau nampak cantik. Kau jangan banyak cakaplah. Samada kau bagi aku atau kau akan menyesal!” Afiq mula mengugut.

Wani mencebik. “Tak kuasa nak layanlah!” dia terus menyambung kayuhan untuk segera pergi dari situ. Memang panas hati kalau bergaduh lama-lama dengan Afiq, sebab dia sentiasa nak menang.

Tanpa diduga Afiq menendang basikal yang sedang bergerak itu sekuat hatinya dan Wani jatuh tersembam ke atas tanah merah yang kotor itu. Basikal Wani dipijak dan ditendang berkali-kali, hinggakan roda basikalnya bengkok. Afiq masih tak puas hati. Dia macam orang hilang akal, basikal Wani diangkat dan dilempar sesuka hati. Biar rosak terus! Bisik hatinya yang sedang enak dirasuk syaitan.

Wani menangis-nangis melihatkan basikalnya dikerjakan Afiq sebegitu rupa. Mukanya yang berdarah akibat jatuh tadi tidak dihiraukan lagi. Tangan dan kakinya yang luka dan melecet pun tidak dia pedulikan. Dia terlalu sedih dan takut melihatkan Afiq yang Mak sayang sepenuh hati ini rupanya ibarat syaitan bertopengkan manusia. Bukan selalu Wani dapat barang baru dari Mak dan Ayah. Afiq selalu dapat apa yang dia nak. Tapi kenapa basikal ini juga yang menjadi rebutan Afiq? Padahal baru enam bulan lepas Mak belikan dia basikal baru. Waktu itu, Wani tak kata apa-apa pun.

Setelah puas hati Afiq, dia bersemuka dengan Wani. “Kau tak bagi sangat kan basikal tu kat aku, jadi biar sama-sama tak dapat. Kalau kau berani cakap kat Mak, lepas ni engkau aku kerjakan!”

Lewat petang, bila Wani sampai rumah Mak terkejut kepalang melihatkan Wani yang berdarah di sana sini, dengan baju yang kotor, pulang dalam keadaan yang letih sambil menyeret basikalnya perlahan-lahan. Dari jendela atas rumah, Afiq pandang Wani dengan renungan tajam. Dia dapat tangkap sikit-sikit yang Wani jawab ‘jatuh dalam longkang besar depan rumah Yati’ pada Mak. Sekali-sekala Wani mengerling padanya. Dia tahu Wani takkan bercerita hal sebenar. Di kala itu, perasaan marahnya begitu membuak-buak pada Wani hinggakan tiada sedikit pun rasa belas melihatkan darah kering yang masih bersisa pada wajah Wani. Malah bukan dikala itu saja, di waktu lain sekalipun hatinya tidak pernah rasa kasihan pada Wani dan adik-adiknya jika dia telah melakukan sesuatu. Kerana Mak sayangkan aku lebih dari mereka!

Namun, saat ini… entah kenapa hatinya benar-benar tersentuh dengan wajah sugul Wani yang terkilan hanya kerana tidak dapat menjamah lontong yang dimasak Mak pagi tadi. Bukan setakat wajah yang sugul, tapi dia dapat rasakan hampa dan hibanya hati Wani bila Mak melebihkan dirinya dan meminggirkan perasaan Wani. Bagai dipulas hatinya melihatkan wajah Wani yang pergi tanpa marah-marah seperti selalu.

Wani yang tolong Mak masak pagi-pagi tadi, tapi sedikit pun dia tak dapat jamah. Mak beralasan lupa. Kenapa mak lupa pesanan Wani mak? Kenapa, mak? Mak tahu tak, Afiq balik ni pun sebab Wani. Malam tadi dia mesej Afiq suruh pulang. Dia kesian tengok mak yang rindukan Afiq. Betulkah Wani tiada dalam hati mak, macam yang Wani cakap? Betul ke, mak? Secara tiba-tiba tiap lakunya pada Wani sejak dulu seperti diulang tayang kembali dalam kotak mindanya. Jiwa Afiq resah. Kacau. Fikirannya buntu. Untuk kali ini, Afiq tidak rasa kemenangan miliknya.

Afiq mengelap titisan peluh yang melingkari wajahnya. Akhirnya dia sampai ke tempat persembunyian Wani. Bukan jauh sangat pun. Penat dia berpusing-pusing ke seluruh kampung mencari Wani. Dari jauh dia lihat Wani sedang duduk sambil dua lutut dipeluk ke dadanya. Sementara dagu dipanggung atas kepala lutut. Kedua belah telinga ditekap dengan headphone. Kehadiran Afiq tidak disedari Wani.

Bila Afiq mendekat, dia lihat kelopak mata Wani rapat. Ada titisan jernih yang mengalir keluar dari dua kelopak mata itu. Hiba rasanya hati Afiq. Luruh segala ego dan rasa marah yang pernah bersarang di hati sebelum ini. Bukan tidak pernah Wani menangis di hadapannya bila dimarah atau dipukul Mak, tapi kali rasanya sangat berbeza. Timbul rasa kasihan yang sangat mendalam dengan Wani. Parut kecil di sudut dahi Wani membawa ingatannya pada kisah basikal yang pernah dirosakkannya sampaikan Wani terpaksa pergi sekolah menumpang basikal dengan kawan-kawannya. Mak marahkan dia sebab tak cermat jaga barang. Dan kisah itu barangkali masih lagi menjadi rahsianya hingga kini.

Afiq sebak. Kerana tamakkan air tangan seorang wanita bergelar Mak, Wani jadi begini. Afiq tahu Wani merahsiakan segala rasa hati, demi menjaga hati Mak. Walaupun dia tak bersalah, dia tetap akan disalahkan oleh Mak. Dan Afiqlah punca Mak jadi begitu. Kalaulah Wani adik kandungnya yang sebenar, ingin saja dia memeluk Wani dan memohon maaf atas segala silapnya.

Wani membuka mata perlahan. Terasa kehadiran seseorang. Dia terkejut melihat Afiq di depan mata. Segera dia mengesat air mata yang berlarutan sejak tadi. Headphone dibuka. Apa Afiq buat di sini?

“Esok… kita masak lontong lagi ya? Kita masak sama-sama,” ujar Afiq perlahan. Dalam hatinya penuh dengan harapan agar Wani memaafkan dia. Terimalah pelawaan aku ni, Wani. Kalau Wani setuju, bererti Wani maafkan dia.

Wani pandang wajah Afiq lama. Terima atau tidak? Wani tahu Afiq meminta maaf. Tapi hati Wani sangat terluka. Bertahun-tahun luka ini berdarah, Afiq. Bukan semudah itu untuk Wani maafkan.

“Err…,” Wani teragak-agak hendak menjawab.

“Please, Hawani,” pujuk Afiq lagi.

Wani senyum. “Kita ajak mak sekali,” jawab Wani perlahan juga. Demi kasih Wani untuk Mak, Wani akan maafkan Afiq.

Afiq membalas senyuman Wani. Syukur. Perbuatan kejamnya terhadap Wani selama lima belas tahun, dibalas dengan sebuah kemaafan dalam masa lima belas minit sahaja. Sungguh hati Wani sama bersih macam hati Mak. Air tangan Mak yang membesarkan Afiq dan Wani sentiasa penuh dengan keberkatan dan kasih sayang agar selalu menjadi anak-anak yang bersih hatinya.

Seperti yang dipinta anak-anak Mak, pagi esoknya Mak bangun awal lagi kerana nak masakkan lontong istimewa untuk Wani pula. Sejak semalam hingga pagi ni, Mak tak tahu macamana kedua anak Mak ni boleh berbaik. Suatu hari Mak akan tanya, tapi yang pasti sekarang Mak rasa sangat bersyukur kerana doa mak dimakbulkan.


-tamat-

1 comment:

  1. Touching... huhu.. mengalir air mata... best!!! :-) tapi x puas sikit sbb Wani suffer 15thn, mudah je dia terima Afiq.. rasa cam Afiq kenalah buat benda yg gempaq utk tebus kesilapan lalu dia pada Wani.. hehehe..

    Thanks Nureen.. :-)

    luv all ur stories.. keep on writing... akak baca nanti bila berkesempatan.. :-)

    ReplyDelete