Thursday 26 January 2012

Tiada Lagi Dendam

Aku memejam mataku rapat-rapat. Airmata lelaki gugur jua akhirnya. Mula-mula perlahan. Lama-lama aku teresak. Aku menyesal. Aku bertaubat. Di atas sejadah biru pemberian abahku, aku berteleku lama. Aku baru sudah solat taubat dan solat hajat.

Senaskhah al-Quran ku pegang erat. Aku mahu membaca al-Quran, untuk ku sedekahkan pada dua orang yang ku sayang. Arwah kakakku, Mashitah dan Khairunnisa, sahabatku yang sedang bergelut dengan maut ketika ini. Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini dan semoga Kau selamatkanlah sahabatku, Nisa.

Sudah lama aku tinggalkan amalan ini. Mengaji al-Quran. Mama selalu berpesan, solat lima waktu jangan tinggal. Mengaji jadikan amalan. Tak dapat setiap hari, seminggu sekali pun jadilah.

Kenapa aku jadi anak yang begini? Abah dan mama begitu taat menjalankan kewajipan sebagai orang Islam. Kakakku juga begitu. Tetapi kenapa aku tidak begitu? Kenapa aku lalai?

Mengingati Mashitah, arwah kakakku, aku jadi semakin sebak. Kerana dialah aku jadi syaitan bertopengkan manusia. Kerana kematian dialah aku jadi seorang pendendam. Semuanya kerana kakak yang ku sayangi itu.

“Kakak masuk ICU, Siddiq,” ujar mama perlahan. Aku terkesima. Kenapa tiba-tiba masuk ICU?

“Mungkin tiada harapan…,” sambung mama lagi. Aku tidak terkata.

Sepanjang sebulan kakak di ICU, kami sekeluarga sentiasa bergilir menjaganya. Bila aku tiada kelas, aku menggantikan mama atau abah menjaganya. Kadang-kadang ibu mertua kakak atau adik iparnya ada juga datang menjaga. Sesekali aku lihat adik iparnya, Nisa, merangkap sahabatku, menangis sambil mengusap-usap ubun kakak.

Aku jadi benci melihat perbuatannya. Entah kenapa. Mungkin kerana aku bencikan abang Nisa, iaitu abang iparku kerana memperlakukan kakak sedemikian rupa.

Abang iparku, Zakuan, memang manusia yang tiada hati perut barangkali. Mereka sudah berkahwin tiga tahun yang lepas tapi masih belum dikurniakan zuriat. Tetapi bila kakak didapati hamil, dia berubah. Dia menuduh kakak curang. Anak yang dikandung kakak belum tentu anaknya. Aku pun tak faham kenapa dia jadi begitu? Bukankah itu yang dinantikan selama ini?

Mama memberitahu abang Zakuan memang seorang yang kuat cemburu. Pekerjaan kakak sebagai eksekutif pemasaran menuntutnya untuk berjumpa dengan klien selalu. Itulah punca utama cemburu butanya itu. Akhirnya kakak menjadi mangsa.

Sejak kakak mengandung, dia selalu memukul kakak tanpa alasan yang kukuh. Kami tidak tahu perkara itu sehinggalah kakak masuk ICU. Birat-birat seluruh tubuh kakak. Lebam di sana sini. Parut luka merata tempat. Kakak terjatuh di rumahnya kerana hilang kawalan akibat terlalu stress. Kandungannya yang berusia tujuh bulan itu tidak dapat diselamatkan. Akibat pendarahan yang teruk, kakak tidak sedarkan diri hampir sebulan di ICU sebelum dia sendiri kembali menemui Ilahi.

Aku tidak menangis. Sedikit pun tidak. Aku membantu menguruskan jenazahnya hingga ke liang lahad. Abang Zakuan tidak kelihatan. Dia hilang sebaik saja kakak masuk ke ICU. Aku jadi marah dengan dia. Teramat marah. Aku mahu buat perhitungan dengan dia. Tetapi aku tidak berjumpa dengan dia. Aku tak tahu dia ke mana. Lagi pula, kelas yang terpaksa ku hadiri menyekat pergerakanku.

“Kes ni dah jadi kes polis. Biar mereka yang uruskan,” jawab mama sebaik aku usulkan cadangan untuk mencari abang Zakuan. Pada mama, walau apa yang kita lakukan, kakak tetap tidak akan kembali. Aku terus diam sambil mama mengesat airmatanya yang berjujuran.

Suatu hari di dalam kelas, Nisa menegurku. Aku sudah lama tidak bercakap dengannya. Dulu kami akrab. Mengambil jurusan yang sama, kelas yang sama, sudah cukup merapatkan kami. Namun tidak lebih daripada itu. Aku sudah punya kekasih. Jadi memang Nisa ku anggap sahabat baik dalam pengajianku, sementelah dia adalah adik ipar kepada kakakku.

“Siddiq, Nisa minta maaf bagi pihak abang,” ucapnya perlahan. Aku diam saja. Keadaan kelas agak bising kerana menunggu pensyarah datang. Aku pula pura-pura membaca buku walaupun ketika itu fikiranku melayang entah ke mana.

“Nisa pun sayangkan kakak…,” katanya tersekat-sekat. Aku tahu dia hampir menangis. Aku juga tahu hubungan dia dengan kakak aku sangat rapat. Tetapi entahlah, selagi aku tidak bertemu dengan abang Zakuan, seolah-olah ada hutang yang masih belum selesai.

Nisa berlalu pergi apabila kata-katanya tidak mendapat responku. Aku memerhatikan Nisa dari jauh. Tiba-tiba syaitan datang menghasut. Aku tersenyum. Aku tahu bagaimana caranya untuk buatkan abang Zakuan pulang.

*********

Usai berdoa, aku berbaring di katil. Airmataku kering dengan sendirinya. Siling ku tenung. Memikirkan kembali perbualan antara aku dengan mama seminggu yang lalu.

“Tak sangka betul. Anak lelakinya menuduh anak kita curang, rupa-rupanya anak dia sendiri lagi teruk,” ujar mama. Hairan pula aku. Apa yang mama cakap ni? Mama cakap pasal abang Zakuan atau Nisa?

“Kenapa, ma?” soalku ingin tahu.

“Tulah, budak Nisa tu. Kan abang dia tuduh kakak kamu curang dengan dia, sampai mengandung kononnya. Habis tu, si Nisa tu yang mengandung tapi belum kahwin tu, apa cerita?” jawab mama sinis. Zapp! Jantungku serasa ingin putus. Macam mana mama tahu Nisa mengandung?

Ada kawan mama kat hospital tadi yang cakap,” mama bersuara seperti tahu apa yang ada dalam fikiranku. Tapi tiba-tiba mama mengeluh.

“Tapi kesian pulak budak Nisa tu. Tak sedar diri sekarang ni. Dahlah semester akhir, macam-macam hal. Silap-silap kena gantung universiti,” tambah mama lagi. Hah? Tak sedar diri?

“Tak sedar diri, ma?” soalku berani-berani takut.

Mama mengangguk lemah. “Dah dua hari dah,” balas mama pendek. Aku terdiam. Betullah khabar angin yang ku dengar dari teman sekuliah mengenai Nisa.

“Rugi kau tak pergi fruit exhibition tu. Macam-macam jenis buah ada. Bentuk pun pelik-pelik,” ujar Anis pada Zila yang tidak ikut serta ke Pameran Buah Antarabangsa pada Sabtu lepas.

“Buah yang pelik-pelik tu korang beli tak? Meh la aku nak tengok,” tanya Zila.

“Buah pelik kitaorang tak beli. Buah tempatan ada beli. Support lah sikit barang tempatan. Hehehe…” Anis menyeringai.

“Anis, Nisa ikut korang hari tu?” tanya Zila tiba-tiba.

“Ikutlah. Kenapa?” soal Anis kembali pada Zila.

“Takdelah. Dalam beberapa bulan ni aku tengok lain macam jer perangai dia. Senyap. Sunyi. Sepi. Memanglah dia tu tak kepochi macam kita, tapi semakin senyap je aku tengok perangai dia. Semakin lama semakin senyap, semakin diam. Exam tinggal berapa minggu je lagi ni,” Zila meluahkan rasa hati tentang keadaan Nisa yang serasanya semakin jauh daripada mereka. Sedangkan mereka akan menduduki peperiksaan akhir tidak lama lagi. Semester akhir pula tu.

“Tension sangat kot. Kita kan dah nak final exam ni,” sampuk Rianti. Aku yang pada mulanya sedang leka membaca buku tiba-tiba tersentak apabila nama Nisa disebut-sebut. Mulalah telingaku menjadi lintah, mencuri dengar perbualan mereka.

“Tapi kan korang….” Anis membetulkan duduknya. “Hari tu dia beli banyak tau buah nenas. Lepas tu masa kitaorang on the way balik tu, siap berhenti kat kedai and beli botol besar coke,” ucap Anis perlahan ala-ala makcik bergossip tapi aku masih dapat dengar dengan jelas sejelas-jelasnya.

“So, kenapa? Dia suka makan nenas dengan coke kot?” balas Zila.

“Itulah yang pelik tu. Nisa mana minum coke? Dia kan tak berapa suka minum air bergas ni. Kalau nenas tu aku tak sure lah. Tapi aku ingat dulu dia pernah cakap dia tak suka makan benda tajam-tajam, perut dia sensitif. Nanti cirit-birit. Tu yang aku pelik tu,” beriya-iya Anis bergosip tentang Nisa.

“Dia beli untuk mak dia kot. Ha ha ha…”

“Kau ni Zila. Aku serius lah,” kata-kata Anis menghentikan tawa Zila.

“So, kau nak kata apa? Nisa pregnant? So dia makan buah nenas and minum coke to abort it?”

Anis menjuih bibir sambil menjungkit bahunya. Tiada jawapan pada persoalan itu.

“Aku tak rasa Nisa buat perangai macam tu lah. She’s not like that,” Zila bersuara pasti. Sepanjang persahabatan mereka, walaupun tidak berapa rapat, Zila pasti Nisa bukan perempuan sedemikian.

Sementara aku terus gelisah di tempat dudukku. Nisa mengandung? Betul ke?

Persoalan yang tiada jawapan itu aku simpan sehingga aku terserempak dengan Nisa keesokan harinya.

“Nisa, are you pregnant?” tanyaku padanya setelah dia ku ajak ke satu sudut yang agak tersembunyi daripada orang ramai.

Nisa nampak terkejut. Namun dia tidak menjawab. Dia tunduk memandang lantai.

“I’m talking to you!” aku bersuara keras.

“Kalau ya, kenapa? Kan awak memang nak Nisa macam tu?” soalnya kembali. Aku tersenyum puas. Memang aku puas hati! Lebih puas lagi kalau Zakuan dapat tahu dan dia balik sini mencari aku. Itulah tujuan aku. Senang-senang seksa kakak aku sampai mati. Kau ingat aku nak berdiam diri ke? Jangan mimpi, Zakuan!

“Congrats! Jangan lupa bagi tahu kat Zakuan keparat tu. Lepas tu, suruh dia balik kalau dia nak buat perhitungan dengan aku! Aku nak dia rasa apa yang aku rasa!” dan aku terus pergi lepas aku berkata demikian.

Iya, akulah yang bertanggungjawab membuatkan Nisa hamil. Akulah lelaki itu. Lelaki yang tidak habis dengan dendamku.

Aku merencanakan Nisa supaya datang ke rumah pada suatu petang. Aku memberi alasan mama dan abah yang mengajak sedangkan aku tahu mama dan abah pulang ke kampung selama seminggu. Di bilik tidurku sendiri, Nisa tewas ditanganku. Dan dia sama sekali tidak menyerahkan mahkota itu dengan rela. Aku yang memaksa. Aku benar-benar hilang akal petang itu. Aku pukul dia dengan tali pinggang. Aku tendang dia. Aku tumbuk dia. Aku lakukan dia seperti mana abang Zakuan lakukan terhadap kakak.

Gila! Aku hilang pedoman petang itu. Setiap kali dia menjerit, bayangan kakak menjerit melintas dalam fikiranku.

“Macam nilah abang kau buat kat kakak aku! Kau ingat seronok ke?!” aku terus memukul-mukulnya tanpa belas kasihan. Nisa cuba mempertahankan dirinya. Berkali-kali dia meminta maaf dan merayu aku menghentikan lakuku. Tetapi aku tidak peduli. Rayuannya pasti sama dengan kakak sewaktu merayu daripada abang Zakuan. Kalau Zakuan tidak peduli, kenapa aku mesti peduli?!

“Siddiq, please… ini maruah Nisa… untuk suami Nisa… please, Siddiq…” dan aku tetap tidak peduli rayuannya. Banyak cantik! Abang kau dah pijak-pijak maruah kakak aku dan sekarang kau nak cakap pasal maruah??

Aku simpan Nisa di rumahku lebih kurang lima hingga enam hari, sebelum kepulangan mama dan abah. Aku tidak mahu dia pulang ke rumah dalam keadaan yang teruk. Aku biarkan luka dibadannya beransur kering supaya ibunya tidak begitu perasan. Dan sepanjang dia berada dalam kurunganku, aku pastikan dia menelefon ibunya setiap hari. Dengan suara yang ceria dia memberitahu ibunya dia berada di rumah kawannya, menelaah pelajaran bersama-sama. Setiap malam aku perlakukan dia seperti isteriku yang sah. Nisa terpaksa akur asalkan aku tidak memukulnya. Itu syaratnya.

Pada hari aku lepaskan dia, aku hantar dia sampai ke pintu rumah ibunya. Sebelum dia keluar, aku sempat berpesan, “Aku harap kau mengandung. Lepas tu aku harap kau beritahu abang kau, akulah lelaki yang hancurkan hidup kau. Seperti mana dia hancurkan hidup kakak aku. Biar dia rasa apa yang aku rasa. Aku nak dia berhadapan dengan aku!”

Nisa lantas keluar selepas aku menyampaikan pesanku. Dan semenjak itulah Nisa berubah. Dia cuba elakkan diri daripada bertembung dengan aku. Trauma mungkin. Kadang-kadang kelas tidak dihadiri. Assignment tidak dihantar. Kadang-kadang dia ada di kelas, kadang-kadang hilang. Pelajarannya terus merosot. Beberapa kali dia dipanggil untuk kaunseling. Entahlah, aku tidak peduli. Selagi dendamku tidak berbalas, selagi itu aku tidak puas.

*******

“Kamu dah gila ke, Siddiq?!” mama menjerit ke arahku sebaik cerita sebenar diketahuinya. Sungguh, mengakui kejahatan sendiri tidak semudah yang disangka. Aku tidak betah bila mengetahui Nisa sudah tidak sedar selama dua hari. Masuk hari ni, hari ketiga. Sepanjang malam aku tak tidur memikirkan sekiranya Nisa tidak panjang usia seperti kakak. Ya Allah… ampunkan aku! Rintihku.

“Tak ingat Allah ke, Siddiq? Hilang akal ke kamu? Kalau abang dia jadi binatang, kenapa kamu nak ikut jadi binatang macam dia?!” jeritan mama bercampur raungannya tidak sanggup aku dengar lagi. Ya, inilah hukumanku. Itu baru daripada mama. Daripada Allah? Aduhaiii….

“Kamu tahu tak pihak polis tengah cari dia sekarang. Kamu nak terima nasib yang sama ke? Kalau kamu nak dia rasa apa yang kamu rasa, jadi kamu kena bersedia untuk rasa hidup di penjara. Ataupun pelarian. Kamu nak macam tu?! Anak mama dua orang je, Siddiq. Kalau kamu masuk penjara atau hilangkan diri macam Zakuan tu, siapa nak jaga mama dengan abah nanti? Ha, Siddiq??!!” jerit mama ke arahku. Iya, aku baru tersedar akan natijah ini. Kalau aku di penjara dan kakak pun tiada, siapa nak jaga mama dengan abah? Kenapa aku tak fikir semua ni sebelum ni? Kenapa? Kenapa?

“Malu mama ni, Siddiq! Mana mama dengan abah nak letak muka kami ni? Ya Allah ampunkanlah dosa aku kerana lahirkan budak ni, ya Allah …. !” kalimah mama itu telah menyentapkan urat jantungku. Mama menyesal lahirkan aku ke? Aku lantas bangun dan memeluk mama erat-erat.

“Ma… jangan cakap macam tu, ma…. Siddiq minta maaf, ma… !” pintaku. Berkali-kali aku ulang ayat yang sama hingga kedengaran tangisanku. Tak sanggup mendengar kata-kata mama yang terang dan jelas bahawa dia menyesal aku menjadi anaknya. Di mana tempatnya aku nanti kalau mama tak maafkan aku?

Pelukan aku longgarkan bila mama mengusap-usap belakang badanku. Kemudian mama memegang wajahku. Sendunya mula perlahan.

“Siddiq… Nisa dengan ibunya tak pernah mengkhianati kakak kamu. Mereka begitu baik dengan arwah. Sangat sayangkan arwah. Kenapa kamu menyakiti orang yang sayangkan kakak kamu?” ujar mama perlahan. Aku tidak menjawab. Tiada jawapan pada persoalan itu.

“Kamu tahu tak, ibu Nisa pasti sedang bersusah hati dengan keadaan Zakuan yang diburu polis. Entah dimana anaknya tu. Lepas tu kamu tambah lagi masalah dia dengan perbuatan kamu kat Nisa. Bertambah-tambah runsing lagi hatinya,” mama menarik nafas panjang sebelum menyambung. “Dan terima kasih sebab bagi mama rasa apa yang ibu Nisa rasakan sekarang.”

Aku pandang wajah mama.

“Bukan, ma! Siddiq tak berniat macam tu. Siddiq tak mahu mama jadi macam ibu Nisa…”

“Jadi kenapa kamu buat mama rasa macam ni? Mama rasa susah hati, mama rasa malu, mama rasa sedih, marah, geram, takut! Mama rasa macam mama ni tak pandai didik anak. Mama tak didik kamu jadi pendendam. Ada tak mama dengan abah berdendam dengan Nisa dan ibunya? Ada tak?”

Aku menggeleng lemah.

“Ini semua takdir, Siddiq. Takdir. Kita kena redha dengan ketentuan Allah Taala. Siddiq dah besar. Dah matang. Tak perlu mama nak ajarkan benda-benda yang asas macam ni lagi. Mama rasa mama macam dah gagal mendidik Siddiq!”

“Tak, ma… mama tak gagal. Siddiq yang tak gunakan akal fikiran…”

“Sekarang pandai pula kamu nak cakap pasal akal dan fikiran? Kamu tahu tak yang kamu bertuhankan nafsu ketika lakukan perkara tu kat Nisa?? Kamu tahu kan nafsu tu jahat? Sebab itu Allah turunkan akal pada manusia supaya kita boleh berfikir? Kamu tahu kan semua tu? Ha, Siddiq?!” suara mama kembali lantang. Aku mengangguk-ngangguk perlahan. Apa lagi  yang harus ku katakan. Semua yang mama cakap tadi benar belaka, aku memang bertuhankan nafsu!

Sejenak kami terdiam. Masing-masing hilang kata. Aku pula terus menantikan kata-kata daripada mama. Dalam erti kata lain, hukumlah Siddiq, ma!

“Sudahlah, Siddiq. Bertaubatlah, nak. Minta ampun daripada Allah. Kembalilah pada-Nya. Kemudian, jumpalah Nisa. Cubalah bercakap dengan dia. Bertanggungjawablah, nak. Buktikan yang mama tak gagal mendidik kamu,” mama bersuara longlai lalu pergi dari situ. Sementara aku masih termangu di sofa, menganalisa setiap bait ayat yang diucapkan mama tadi.

Siddiq, kembalilah pada Allah dan buktikan pada mama yang dia tidak gagal mendidik anak-anaknya!

***************

Dua minggu sudah berlalu dan Nisa masih belum sedar. Aku resah. Namun doa dan harapanku pada Yang Maha Esa tidak pernah surut. Aku berjanji akan menjadikan Nisa sebagai isteriku bila Nisa sudah sembuh nanti. Dia akan ku jaga sebaik mungkin, ibarat menatang minyak yang penuh. Itu janjiku.

Perkara pertama yang kulakukan, memutuskan perhubungan dengan Suraya. Tanpa sebab dan alasan. Aku cuma menyuruh Suraya mencari lelaki yang lebih baik daripada aku. Suraya amat marah. Aku sekadar mendiamkan diri. Cintaku pada Allah melebihi segalanya. Suraya seorang yang baik, lemah-lembut dan cantik. Pasti tidak sukar mencari pengganti diriku. Maafkan aku, Suraya.

Kedua, aku mengunjungi hospital petang itu selepas  habis kelas. Kelas terakhir sebelum minggu peperiksaan bermula dua minggu lagi. Alhamdulillah dia sudah sedar. Sebelum berjumpa Nisa, aku jumpa ibunya.

Perasaan gugup memenuhi ruang hatiku. Mana mungkin orang yang bersalah seperti aku boleh berlagak biasa. Aku tahu mama telah berjumpa ibu Nisa. Telah menceritakan segala-galanya dan telah memohon maaf bagi pihak diriku. Mama juga telah menyampaikan hasrat hatiku yang akan memperisterikan Nisa sebaik Nisa sembuh. Dan aku benar-benar terharu kerana ibu Nisa tidak sekali pun mendendami aku. Kenapa aku tidak begitu?

“Siddiq minta maaf, makcik…” perlahan sekali tuturku.

Ibu Nisa sekadar tersenyum. “Sekurang-kurangnya Siddiq tak lari daripada tanggungjawab. Siddiq bukan pengecut macam Zakuan.”

Zakuan? Sudah beberapa hari nama itu tidak ada dalam kotak fikiranku. Aku sudah maafkan dia barangkali. Tak penting. Biarlah dia dengan hidupnya sebagai seorang pelarian. Aku tidak mahu jadi pengecut sepertinya.

Memang benar kata mama, ibu Nisa baik orangnya. Memang dia kesal dengan apa yang telah berlaku tetapi takdir tidak akan berpatah balik. Sekurang-kurangnya, dia berasa lega dengan janjiku yang akan menjaga Nisa selepas ini.

Menurut ibu Nisa, dia perasan akan perubahan diri Nisa sejak dua bulan ini. Dia lebih suka berkurung dan mengasingkan diri. Jarang pergi ke kelas dan kerap termenung. Jarang makan. Makanan kesukaannya, nenas dan air coke. Ataupun benda-benda yang tajam. Sesekali dia mengingatkan Nisa tentang perutnya yang sensitif itu, tetapi Nisa tidak peduli. Pernah juga beberapa kali dia menenangkan Nisa kerana Nisa menjerit-jerit ketika dalam tidur. Terakhir, dia terjumpa Nisa di dalam biliknya sudah tidak sedarkan diri. Dalam biliknya bersepah-sepah papan panadol. Darah berlumuran di sana sini. Nisa mempertaruhkan nyawanya untuk menggugurkan kandungan itu.

Aku diam sahaja mendengarkan cerita ibu Nisa. Aku jadi sebak. Pasti Nisa tertekan akibat perbuatanku. Hatiku mula sebak. Kenapa Siddiq jadi macam ni, ma…?

Aku memerhatikan wajah Nisa tanpa berkedip. Dia tidak memandangku. Mungkin takut. Atau benci. Wajahnya pucat lesi. Cengkung sedikit. Badannya pun semakin kurus.

“Lepas Nisa sembuh, kita kahwin ya?” ucapku takut-takut. Perkara ketiga, terakhir dan paling sukar yang hendak ku lakukan, mengajak Nisa kahwin denganku.

Nisa mengalirkan airmata. Aku kaget. Entah apa yang berada dalam fikirannya.

“Kenapa?” soalnya.

“Saya bersalah pada Nisa. Juga pada Allah. Tapi saya mahu bertaubat, Nisa. Berilah saya peluang membetulkan keadaan. Maafkan saya, ya?” pintaku seperti anak kecil.

Agak lama Nisa diam. Airmatanya masih laju membasahi pipi. Hendak ku seka, masih tidak halal bagiku. Huh, sekarang tahu pulak halal dan haram! Dengus hatiku menyalahkan diri sendiri.

Tiba-tiba ibu Nisa datang lalu mengelus perlahan rambut Nisa.

“Nisa… Ibu dah tahu segala-galanya daripada Siddiq,” ujar ibu Nisa tanpa disuruh. Nisa kelihatan agak terkejut.

“Ibu dah tahu?” soalnya.

“Ya, Nisa. Cuma Siddiq tak mahu jadi pengecut macam abang Zakuan. Dia mahu bertanggungjawab. Dia kata, dia menyesal. Dan mahu bertaubat. Dia mahu membahagiakan Nisa, kalau diberi peluang. Apa-apa pun, terserah pada keputusan Nisa,” ucap ibu Nisa lembut. Aku yang mendengar perbualan itu jadi tak keruan. Janganlah Nisa menolak permintaanku.

Nisa menyeka airmatanya yang sudah berhenti. “Suraya?”

Aku tersenyum kelat. “Saya dah lepaskan dia.”

“Macam tu aje? Tak takut dia marah ke?” soal Nisa sinis.

“Saya lebih takutkan Allah, Nisa,” jawabku yakin. Memang itu pun sebenarnya alasanku. “Dan saya lebih takut kalau jadi manusia yang tidak bertaubat. Berilah peluang itu pada saya.”

“Kalau saya maafkan, awak akan tarik balik tawaran berkahwin tu?”

Aku terdiam. Entah kenapa hatiku sedikit gusar. Tidak ada jawapan untuk soalan ini. Sekiranya Nisa maafkan aku, aku tak perlu kahwin dengan dia? Eh, mana boleh! Aku memang nak kahwin dengan dia. Aku nak kotakan apa yang telah aku janjikan. Aku nak jadi suami yang baik buatnya.

“Tidak,” jawabku setelah lama diam.

“Tapi awak kena tunggu, saya belum habis study lagi.”

“Saya sanggup.”

Nisa melepaskan keluhan berat. “Kalau macam tu… setahun dari sekarang lah ya. Bagilah masa saya habiskan study dan bekerja sekejap. Sekurang-kurangnya takdelah orang tuduh saya rampas boyfriend Suraya.”

Aku senyum kelegaan. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi. Akhirnya Dia memakbulkan doaku.

Ibu Nisa memeluk erat Nisa. Aku pulang sebaik mendengar jawapan itu. Aku mahu khabarkan berita ini pada mama secepat mungkin. Tahun depan insya-Allah umurku dua puluh enam tahun dan Nisa baru dua puluh empat. Okaylah tu kalau nak mendirikan rumahtangga. Dulu, aku pernah bekerja dahulu sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah. Sebab itu umurku agak lewat nak dibandingkan dengan budak-budak sekelasku. Rasanya, aku yang paling tua dalam kelasku.

Setahun selepas itu aku dan Nisa dinikahkan secara sah. Sepanjang setahun sebelum itu, perhubunganku dengan Nisa tidak seperti ketika aku bersama Suraya. Nisa tidak suka keluar tidak menentu. Tidak suka bergayut di telefon. Tidak suka kerap bersama. Kalau aku pergi ke rumahnya, mama mesti bersamaku. Aku tahu Nisa masih trauma, terutama bila aku ada. Sebab itulah aku turutkan kehendaknya, asalkan dia sanggup menjadi isteriku.

Usai solat sunat bersama, aku berdoa agak panjang. Nisa mengaminkan. Aku minta, biarlah jodoh kami berpanjangan hingga ke akhir hayat. Dikurniakan kebahagiaan dan anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga di akhirat kelak, biarlah bidadariku nanti sebaik-baik wanita, yakni isteriku Khairunnisa’ binti Khairuddin. Amin.

Nisa mencium tanganku, aku mencium dahinya. Sejuk. Aku tahu dia masih takut dengan aku.

“Nisa, terima kasih sebab sudi jadi isteri abang. Sekali lagi, abang minta maaf banyak-banyak dekat Nisa atas perbuatan abang dekat Nisa. Kalau boleh, abang nak kita mulakan hidup baru lepas ni. Abang tak mahu lagi peristiwa tu disebut-sebut. Bagi abang, Nisa memang perempuan yang suci dan mulia. Abang yang jahat…” tiba ke ayat terakhir aku terasa lemah mengucapkannya.

“Tadi kata tak nak cakap pasal peristiwa tu lagi,” Nisa bersuara mengingatkan aku. Aku tersenyum kecil. Macam dapat semangat baru pulak dengar Nisa cakap macam tu.

Nisa membuka telekung. “Nisa nak pergi dapur jap. Nak minum air tak?”

“Siapa nak minum?” soalku.
Nisa teragak-agak menjawab. “Mmm… awaklah…”

“Awak?” soalku lagi. ‘Awak’ jer dia panggil aku. Punyalah bagus aku panggil diri aku ‘abang’ selama ni. Tulah, masa bertunang dulu dia memang tak mahu biasakan diri panggil aku ‘abang’. Sampai sekarang pun masih tak biasa.

“Panggil ‘abang’,” kataku menyakatnya.

Nisa malu-malu. Pipinya merona merah. Malulah tu. “Hmm… besoklah!” balasnya lalu keluar dari bilik.

Aku senyum bahagia. Moga kebahagiaan ini kekal abadi hingga ke akhir hayat kami. Moga-moga dapat anak yang ramai. Nisa, abang janji akan kotakan janji abang sebelum ni. Percayalah, Nisa.

Dan abang Zakuan? Entahlah dimana dia. Mungkin sudah tiada di Malaysia. Yang penting, tiada dendam di hatiku lagi dengannya. Sekiranya dia pulang, aku juga ingin memohon ampun daripadanya kerana pernah berlaku buruk dengan Nisa suatu ketika dulu. Kini aku tahu kenapa Nisa tidak memberitahu perbuatanku dulu pada abangnya mahupun ibunya. Jawapan yang mudah, supaya dendam ini tidak berpanjangan. Tidak berlarutan. Bersihnya hati Nisa. Semoga Allah juga bersihkan hatiku daripada dendam dan prasangka. Moga hati ini selalu bersih bila mengingati-Mu, Ya Allah… Amin.

No comments:

Post a Comment