Thursday 26 January 2012

Takdir Ilusi

Malam yang sudah lewat. Marissa memerhatikan jam di dinding, 1.00 pagi. Ah, mana perginya dia ni? Desis hati kecilnya. Matanya sudah tidak betah menunggu waktu berlalu. Akhirnya dia tertidur hingga ke pagi.

Sedar-sedar saja, sudah 6.00 pagi. Subuh berkumandang. Marissa bangun dari pembaringan di sofa dan menuju ke kamar tidurnya. Melewati meja makan, dia singgah sebentar membuka tudung saji. Hati kecilnya rasa tersayat. Masih sama keadaannya seperti malam tadi ketika dia menghidangkan lauk pauk itu. Bererti suaminya tidak menjamah langsung makanan yang dimasaknya.

Marissa mengeluh perlahan. Kakinya terus dibawa ke bilik tidur. Sebaik daun pintu ditolak, Ashri, suaminya itu sedang lena diulit mimpi. Entah jam berapa dia pulang Marissa tidak tahu. Perlahan dia duduk di birai katil. Memandang sepi wajah suaminya yang dinikahi tiga tahun yang lalu. Tanpa ada perasaan kasih atau cinta.

Ashri bukan lelaki yang tidak kacak atau tidak berduit. Ashri mempunyai satu pakej yang hampir lengkap sebagai seorang lelaki. Cuma, hatinya tidak lagi terpaut pada Ashri. Entah kenapa. Perasaan kasih dan cinta yang telah lama bermukim hati, hilang begitu saja ditelan waktu.

Mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Berkenalan ketika sama-sama belajar di sebuah universiti di utara Malaysia. Macam orang lain, berkawan hampir beberapa tahun, bercinta untuk tempoh tertentu sebelum memeterai janji dalam sebuah ikatan perkahwinan.

Namun selepas enam bulan usia perkahwinan, Marissa mula sedar perhatian Ashri terhadapnya tidak seperti masa bercinta dulu. Ashri berubah menjadi entah siapa. Atau sememangnya lelaki yang sudah berkahwin akan jadi begitu?

Berjalan di kompleks membeli-belah, tidak lagi berpegangan tangan. SMS rindu dan sayang tiada lagi diterimanya seperti selalu. Hampir kesemua sifat Ashri yang dahulunya romantik dan penyayang telah tiada dalam dirinya.

Marissa bingung. Salah akukah? Kalau iya pun ianya berpunca dari Marissa, kenapa Ashri tidak bersuara? Kenapa tidak pernah mereka berbincang tentang perkara ini? Kenapa Ashri diam seribu bahasa?

Jika dulu mereka selalu berbalah pendapat tentang hampir semua perkara, kenapa sekarang tiada apa yang hendak ditelagahkan? Takkan selepas 3 tahun berkahwin, semuanya sudah selari? Sudah sependapat? Sudah saling memahami sepenuhnya?

Sekiranya anak yang menjadi punca, bukan Marissa yang patut disalahkan. Ashri sendiri yang tidak mahukan anak lagi. Belum bersedia katanya. Jadi, apa lagi yang tidak tepat dalam hubungan mereka ini?

Marissa langsung ke bilik air membersihkan diri. Hari ini dia bercadang untuk tidak ke pejabat. Ambil cuti sakit dan selepas itu dia akan pulang ke rumah untuk tidur. Dia dapat merasakan betapa besarnya jurang antara dia dengan Ashri kini. Marissa ibarat mengemudi sampan tanpa pendayung. Hendak buat apa, hendak ke mana, buat sajalah. Kalau sampannya ke hulu, dia turut. Kalau sampannya ke hilir, pun dia turutkan.

“Hai,” tegur Dr. Fiqri perlahan.

Perlahan Marissa duduk di kerusi pesakit. Dia tersenyum kelat.

“Sakit biasa, doktor,” ujarnya.

Dr. Fiqri mengerutkan dahinya. “Migrain?” soalnya.

Marissa mengeluh perlahan. “Anything, as long as I can get the MC,” jawabnya selamba tanpa memikirkan etika kedoktoran yang tidak mewajarkan cuti sakit diberi sesuka hati.

Dr. Fiqri tersenyum. “You are not sick and you are simply asking me to give you an MC?”

“Yes, whatever. Saya nak berehat hari ni,” jawab Marissa tanpa berfikir panjang.

Dr. Fiqri tersenyum lagi. Dia merenung wajah pesakit yang kelihatan sugul di hadapannya ini. Wajah pesakit ini cantik tapi kurang sinarnya. Selalu benar datang sini ambil cuti sakit walaupun tidak sakit. Sakit hati barangkali! Tekanya secara rambang.

Marissa terasa pelik bila Dr. Fiqri berdiam diri agak lama. Lantas dia mengangkat muka dan memandang tepat wajah Dr. Fiqri.

“Apa yang doktor fikir lagi tu? Cepatlah, saya nak balik ni!” terus saja disergahnya Dr. Fiqri tanpa berfikir panjang.

Dr. Fiqri masih lagi tersenyum. Benar-benar menyakitkan hati Marissa.

“Puan Marissa, saya sepatutnya tak boleh bagi cuti sakit sesuka hati kepada orang yang tak sakit ni,” Dr. Fiqri berkata lembut.

“Siapa kata saya tak sakit? Saya sakit hati! Ha, check je lah hati saya ni!” Marissa mula naik berang. Entah kenapa. Padahal bukanlah sikapnya begitu.

“Hmm.. itu lah masalahnya. Saya bukan doktor yang rawat penyakit hati. But anyway, saya akan bagi surat cuti sakit dan juga sedikit ubat. You go back and have a good rest, ok?” balas Dr. Fiqri.

Dia tahu jiwa pesakitnya tidak tenteram jadi tak perlulah dia memanjangkan cerita lagi. Beri sajalah apa yang dia nak, kemudian suruh dia balik. Ramai lagi pesakit di luar klinik yang benar-benar sakit dan perlu dirawat.

Marissa bingkas bangun dari kerusinya sambil mengucapkan terima kasih.

“Yang ni kali terakhir tau, Puan!” ujar Dr. Fiqri ketika Marissa hendak melangkah keluar dari biliknya.

Marissa mencebik di dalam hati. Apa-apa sajalah wahai tuan doktor asalkan hari ni aku lepas!

Destinasi seterusnya..? Ah, Marissa tidak tahu ke mana hendak diarahkan langkah kakinya. Tidak mungkin dia akan pulang ke rumah untuk mengisi kekosongan waktu. Tiada apa yang boleh dilakukan di rumah. Hendak berjalan-jalan ‘window shopping’ pun terasa bosan. Seorang diri, tanpa teman. Seronokkah?

Mungkin, makan dulu? Ini pun dah masuk tengahari. Pagi tadi belum bersarapan. Ah, bolehlah! Langkah diatur laju menuju ke restoran mamak yang terdekat. Dah lama rasanya tak makan nasi daun pisang berlaukkan rasum, kuah kari, ikan goreng, sayur goreng dan entah apa-apa lagi ramuannya.

Marissa teringat akan kegilaannya terhadap nasi daun pisang mamak yang tidak begitu digemari Ashri. Ashri hanya akan memesan nasi goreng atau mee goreng sekiranya mereka berada di restoran mamak. Namun Ashri kagum, bukan semua orang pandai makan nasi seperti ini. Dia sendiri kurang pandai dan kurang minat. Selera Ashri memang bukan di kedai mamak.

Ah, biarlah! Ashri dengan aku pun dah lama tak makan berdua bersama. Di rumah pun tidak, di luar apatah lagi.

Makanan yang dipesan masih belum sampai. Marissa mengeluarkan sebuah novel untuk dibaca. Tidaklah kontang-kanting sangat. Dahlah seorang diri, duduk termenung pula macam orang kalah judi. Kalau ada sesuatu untuk dibaca, tidaklah janggal sangat rasanya.

Tiba-tiba tumpuannya terpaku pada kemesraan sepasang kekasih yang sedang melintas jalan menuju ke kereta mereka. Si lelaki membukakan pintu untuk si gadis dan sebelum masuk ke dalam kereta sempat si gadis mengusap lembut pipi sang kekasih hatinya. Agaknya kalau bukan berada di Malaysia yang terkenal dengan adat, resam dan budayanya tersendiri, sudah lama mereka berkucupan!

Kelekaan Marissa memerhatikan si kekasih lelaki secara tiba-tiba bagai direntap apabila melihatkan susuk tubuh dan rupa lelaki tersebut. Hampir terlepas novel di tangan. Bukankah itu Ashri? Bukankah itu kereta dia?

“Assalamualaikum,” sapa seseorang yang sudah pun duduk di kerusi berhadapan dengannya.

Marissa gamam. Belum sempat fikirannya memproses tentang kecurangan suami di depan mata, tiba-tiba muncul pula Dr. Fiqri tanpa dipinta.

“Suami puan?” soalnya menudingkan jari ke satu arah. Arah yang ditenungnya sebentar tadi.

Marissa tidak menjawab segera. Akalnya masih belum waras untuk bercakap secara normal. Dadanya masih lagi bergetar hebat. Tekanan darahnya masih berada di paras tinggi. Persoalan-persoalan lazim yang berada dalam benaknya kini adalah sama saja sepertimana yang telah dilalui oleh wanita-wanita yang pernah diduakan. Apa salah diriku? Apa kekurangan diriku sehingga suamiku mencari yang lain? Dimana silapku?

Dr. Fiqri tidak menghiraukan pandangan kosong Marissa. Dia tahu Marissa dalam keadaan yang tidak normal untuk bertutur dan tidak waras untuk membuat keputusan. Mungkin lelaki itu suaminya yang bersuka-ria bersama perempuan lain sedangkan Marissa dipinggirkan keseorangan tanpa arah tujuan. Walau apa pun, itu hanya andaianku!

***
Tit! Tit! Bunyi mesej masuk ke dalam telefon bimbit Marissa. Ditekannya butang ‘read’ untuk membaca isi kandungan mesej tersebut yang dihantar Dr. Fiqri.

[Terima kasih, kerana Mar sudi jadi isteri abang. Abang hargai.]

Marissa mengeluh perlahan. Akhirnya Dr. Fiqri menjadi pilihan hatinya setelah tamat tempoh edah tiga bulan perceraiannya dengan Ashri. Dia bersyukur akhirnya Ashri melepaskan dia. Bukan kerana dia terlalu inginkan perceraian ini. Namun kerana dia sendiri sudah tidak sanggup menanggung dosa kerana menduakan Ashri ketika mereka masih sah sebagai suami dan isteri. Walaupun hubungan dengan Dr. Fiqri sekadar di telefon atau meja makan, ianya tetap berdosa. Mujur juga Dr. Fiqri seorang yang sibuk, lantaran kesibukannya memberi ruang yang terbatas untuk mereka bertemu selalu.

Mengingati lelaki lain yang bukan suami adalah satu dosa, apatah lagi mencintai lelaki tersebut. Tetapi, bagaimana pula dengan suami yang berhubungan sulit dengan perempuan yang bukan sah isterinya? Atas alasan inilah Marissa jadi reda sewaktu Ashri tekad melepaskan dia. Kalau Ashri begitu mudah melepaskan dia, kenapa dia harus menangisi nasib dan takdir yang sudah tertulis? Biarlah begitu, kehidupan perlu diteruskan.

Hubungan dengan Dr. Fiqri  yang bermula daripada perasaan simpati telah menjadi hubungan cinta terlarang yang tidak pernah disangkakan akan terjadi dalam hidup Marissa. Sungguh, kasihnya terhadap Ashri selama ini membuatkan dia menjadi seorang wanita yang sungguh komited dalam menjayakan hubungan mereka. Marissa tidak pernah berlaku curang walau dengan mana-mana lelaki sekalipun. Namun, Ashri yang memulakan semua ini!

Kejadian yang dilihat di restoran mamak tersebut telah merenggangkan lagi hubungan mereka yang sudah sedia renggang. Marissa tidak pernah membicarakan soal ini dengan Ashri. Dia berlagak tenang dan selamba. Kalau boleh, biarlah Ashri yang berterus-terang dengannya dahlulu. Lagi pula, bila sudah terlalu lama tidak bercakap Marissa sendiri tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan.

Sekali-sekala bila pulang ke kampung, tidak dapat dielakkan pasti ibu bapanya atau ibu bapa Ashri bertanyakan pada Marissa tentang keadaan Ashri yang sudah jadi pendiam, tetapi Marissa cuba menafikan.

“Dia banyak kerja, ibu. Tu yang macam-macam dia fikirkan tu,” dalih Marissa menutup kelemahan Ashri disamping menutup keresahan hatinya sendiri.

Mujur juga ibu dan bapa mereka berada jauh dari kota, tidaklah kerap persoalan ini akan timbul. Kalau tidak, Marissa juga yang letih hendak mereka-reka jawapan yang bersesuaian bagi melindungi lakonan mereka.

Pulang saja ke rumah mereka di ibu kota, kehidupan asing bermula kembali. Marissa dengan dunianya yang asyik diulit cinta dengan Dr. Fiqri dan Ashri terus-terusan mengasingkan diri.

Hubungan cinta terlarang Marissa diketahui Ashri sendiri tatkala terbaca SMS yang terlupa dibuang Marissa. Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mengetahui. Tanpa membuang waktu, Ashri terus bersemuka dengan Marissa meminta penjelasan.

“Awak masih isteri saya kan?” soal Ashri tiba-tiba semasa Marissa sedang menggosok baju.

Marissa gamam. Jantungnya berdegup kencang. Benak fikiran orang yang melakukan kesalahan tidak lain tidak bukan hanyalah tertumpu pada kesalahan yang dia lakukan. Pasti Ashri sudah tahu!

“Kenapa awak tanya macam tu?” soal Marissa semula. Berani-berani takut.

“Saya tak sangka awak macam ni, sayang!”

‘Sayang’? Huh, dah berapa lama panggilan itu tidak kedengaran di telinganya. Namun Marissa tidak menjawab. Otaknya ligat berfikir apa yang harus dijawabnya. Mengaku atau tidak?

“Awak dah bosan dengan saya ke?” tanya Ashri lagi.

“Kenapa awak cakap macam tu?”

“Sebab awak ada lelaki lain!”

“Jadi, awak pun bosan dengan sayalah?”

“Siapa kata?”

“Saya yang kata. Awak bosan dengan saya, sebab tu awak ada perempuan lain. Kan?”

Ashri tertawa kecil. “Jangan menuding kesalahan pada orang lain. Kalau awak yang buat salah, jangan tuduh saya pun salah. Bila masa saya ada perempuan lain?”

Marissa sudah agak. Biasalah lelaki! Kalau kita dah jumpa dia dalam bilik hotel pun masih ada alasan untuk direka bagi mempertahankan dirinya.

“Saya nampak dengan mata saya sendiri.”

“Apa yang awak nampak?”

“Awak dengan perempuan tu lah!”

“Di mana?”

“Sayakah yang kena bagi tahu tempatnya awak berasmara?”

Ashri mengeluh perlahan. Rasanya cukuplah setakat ini perbincangan dia dengan Marissa. Masing-masing tidak mahu mengaku kesalahan diri sendiri. Tidak disangkanya, Marissa yang dikenali sebagai wanita yang jarang bertelagah telah berubah menjadi seorang wanita yang cukup berani melawan kata.

“Saya tak pernah tengok awak macam ni, sayang,” lirih suara Ashri mengeluarkan kata-kata itu.

Jauh di sudut hati dia masih sayangkan Marissa, namun rasanya jodoh mereka mungkin sampai di sini sahaja. Telah berbulan lamanya dia berhajat melepaskan Marissa, cuma tidak pernah disuarakan hasratnya itu. Biarlah masing-masing menjalani kehidupan baru yang mungkin lebih baik daripada sekarang.

“Mungkin lelaki di luar tu lebih baik untuk awak daripada saya.” Ashri ambil nafas sesaat. “Marissa binti Mahyuddin, saya lepaskan awak dengan talak satu!”

Begitu bersahaja dan begitu tekad. Ashri lantas keluar daripada rumah tersebut sementara Marissa masih termangu dengan lafaz yang didengarinya. Ashri telah ceraikan aku? Betulkah?

Hampir setengah jam Marissa bingung. Masih berfikir dan masih mengulang tayang kata-kata Ashri tadi. Beginikah lelaki? Diambilnya kita semasa dia suka dan dibuangnya kita pabila tak suka.

Malam itu Marissa tidur bertemankan air mata. Berkali-kali dicubanya menghubungi Ashri tetapi Ashri tidak menjawab. Setelah hampir Subuh, barulah Ashri mengirim SMS buatnya.

[Sayang, saya halalkan makan minum dan saya dah maafkan kesalahan awak. Saya ada hidup saya dan awak pun ada lelaki yang menunggu. Pergilah].

Kata-kata itu telah menyebabkan Marissa rasa kesal mengalirkan air mata semalaman. Beriya-iya dia menangis kerana Ashri. Rupanya Ashri sendiri tidak endahkan semua itu lagi. Betullah lelaki! Tunggu sajalah wahai perempuan perampas, hidup kau takkan aman! Kerana engkau aku diceraikan. Kerana engkau rumahtanggaku musnah. Kau tunggu sajalah balasannya nanti!

*****

Seminggu selepas kenduri nikahnya, Marissa dibawa pulang ke rumah baru yang disediakan Dr. Fiqri. Marissa agak kekok walaupun pernah menjadi seorang isteri. Awal tahun menjadi janda, pertengahan tahun sudah memegang status ‘isteri’ kembali. Tahun lepas beraya dengan Ashri, tahun ni beraya dengan Dr. Fiqri sebagai suami.

Agak mengelirukan kadang-kadang. Marissa sendiri jadi kacau-bilau. Perasaannya selalu berkecamuk. Mujur Dr. Fiqri banyak membantunya menghadapi tekanan perasaan. Marissa sendiri berasa hairan kenapa begitu cepat dia memberikan jawapan setuju kepada lamaran Dr. Fiqri. Mungkin rasa marah terhadap Ashri yang menyebabkan dia bersetuju tanpa berfikir panjang. Atau pun disebabkan oleh sifat Dr. Fiqri yang tidak pernah mengabaikan Marissa walau sesibuk mana sekalipun dia.

Ah! Aku tak harus buat perbandingan antara si dia dan si dia. Ashri dengan caranya dan Dr. Fiqri dengan caranya yang tersendiri. Aku cuma harap aku dapat kehidupan yang lebih bahagia dari yang sebelumnya.

Untungnya Marissa sama seperti ketika Ashri tidak menduakannya. Dia dimanjai sewajarnya sebagai seorang isteri. Mungkin Dr. Fiqri tidak mahu Marissa merasai kurang dalam kasih dan sayangnya. Walaupun ada kalanya Marissa takut pisang akan berbuah dua kali namun doanya tidak putus agar Dr. Fiqri tidak akan melakukan perkara yang telah dibuat Ashri. Minta dijauhkan, sejauh-jauhnya.

Empat bulan selepas itu, syukur ke hadrat Ilahi akhirnya Marissa disahkan hamil dua bulan. Gembira tidak terkata, Marissa tidak menyangka impiannya untuk memiliki anak bakal tercapai. Sudah beberapa tahun berkahwin, barulah kini dia merasakan hidupnya hampir sempurna sebagai seorang wanita. Perempuan mana yang tidak mahu melahirkan anak?

Masuk tujuh bulan usia kandungannya, Marissa dengan Dr. Fiqri sibuk melakukan pelbagai persiapan untuk menyambut kelahiran ‘orang baru’ dalam rumahtangga mereka. Ketika sibuk berkemas dan menghias bilik untuk orang baru yang bakal tiba, keriangan Marissa direnggut dengan terjatuhnya sebuah kotak kecil yang menyimpan gambar Ashri ketika mereka masih belajar dulu. Tangan Marissa menggigil ketika wajah Ashri ditatap. Sesekali rindu itu hadir. Apakah Ashri sudah berkahwin dengan teman wanitanya? Fikirnya dalam hati.

“Gambar siapa tu?” tegur Dr. Fiqri.

Marissa tersenyum. “Bekas suami Mar. Tapi jangan cemburu tau. ”

Gambar bertukar tangan. Dr. Fiqri tersenyum sendiri. Boleh tahan! Desis hati kecilnya.

“Abang juga nampak dia dengan perempuan lain hari tu kan?” soal Marissa.

Dr. Fiqri mengerutkan dahi. Cuba mengingati sesuatu. “Masa di restoran mamak tu ke?”

Marissa mengangguk-angguk kecil. Lemah. Memang sedih bila mengingati kembali kejadian pahit itu.

“Emm… tapi abang rasa… lelaki tu tak sama dengan bekas suami Mar ni,” tutur Dr. Fiqri lambat-lambat.

Marissa agak terkejut. Apa maksudnya? “Aa.. apa abang cakap?”

“Lelaki yang Mar tengok kat restoran dulu? Masa Mar makan seorang diri, kemudian abang datang tegur Mar tu?” soal Di. Fiqri sekali lagi untuk mendapatkan kepastian.

Marissa angguk mengiyakan.

“Iyalah tu. Wajahnya tak sama. Bukan macam ni,” ujar Dr. Fiqri.

Marissa bertambah bingung. “Tapi kereta tu warna hitam kan? Honda Civic kan?”

“Emm… kereta tu memang Civic hitam, tapi lelaki tu tak sama dengan yang Mar tunjuk ni,” kata Dr. Fiqri.

Marissa melongo. Habis siapa yang aku nampak tu?

***
“Kenapa awak rahsiakan dari saya? Kenapa?” soal Marissa agak tegang.

Ashri tunduk merenung gelas yang masih penuh airnya.

“Saya dah buat sesuatu yang jahat. Tentulah saya kena rahsiakan,” jawab Ashri tenang.

“Jahat? Benda macam tu jahat ke?” soal Marissa pelik.

“Iya, Mar. Saya ni pentingkan diri sendiri. Saya ni tamakkan cinta awak. Saya hanya fikirkan perasaan saya dan saya buat-buat lupa perasaan awak. Itu tetap dalam kategori jahat. Jadi, memang wajar hukuman yang saya dapat ni. Dan tengok diri awak, awak dah pun hamil. Bakal dapat anak tak lama lagi. Kalau awak masih dengan saya, sampai bila pun awak takkan dapat zuriat.”

Marissa terasa sakit di ulu hatinya. Kenapa Ashri begini jadinya? Bukankah mereka patut menyelesaikan masalah bersama-sama? Itukan janji mereka dahulu?

“Saya kesal dengan cara awak handle masalah. Kita dah janji nak selesaikan masalah bersama-sama. Kita dah janji takkan berdiam diri jika ada masalah. Awak tak tepati janji, Ashri. Sekarang ni, awak buat saya rasa bersalah yang amat sangat. Saya terlalu stress, sampaikan lelaki lain pun saya sangkakan itu awak. Saya dah tuduh awak buat benda yang bukan-bukan. Saya dah silap menilai awak. Saya rasa bersalah tau tak? Kalau saya masih single, mungkin saya akan balik pada awak. Tapi saya…,”

“Shh…! Apa awak merepek ni?” bantah Ashri. Dia tahu Marissa teramat rasakan kesalahannya, tapi tak perlulah sampai menyesali tindakan sendiri. Dia sebenarnya rasa bahagia bila melihatkan Marissa bahagia disamping Dr. Fiqri. Tidak perlu Marissa kesalkan apa yang telah berlaku walaupun ketika menjatuhkan talak tempoh hari, hanya Tuhan yang tahu betapa dalam sakitnya.

Marissa mengelap air mata yang jatuh ke pipi. Ashri tidak tahu apa yang dia rasakan kini. Dia benar-benar rasa bersalah, tetapi tak mungkin dia akan tinggalkan Dr. Fiqri. Tapi, bagaimana pula dengan masa depan Ashri?

“Saya gembira tengok awak dengan Dr. Fiqri. Itulah yang sepatutnya berlaku sejak dulu lagi. Waktu saya lafazkan talak ke atas awak, saya terasa yang saya dah lakukan satu perkara yang sangat adil buat kita semua. Buat saya, buat awak, buat keluarga kita. Memang dah lama saya berhajat untuk lepaskan awak, tapi saya tak tahu bila. Malam itu, bila saya terbaca mesej awak, saya katakan pada diri saya yang inilah masanya. Awak tak perlu rasa bersalah, Mar. Yang sepatutnya berlaku ialah, saya tidak langsung melamar awak dari mula. Tapi macam yang saya kata, saya tamak. Saya tak mahu awak pergi pada orang lain. Saya hanya mahukan awak untuk diri saya sahaja. Namun, selepas enam bulan kita bernikah barulah saya sedar awak akan tempuhi perkara yang lebih rumit lagi. Baru saya sedar yang saya bukan saja mengahwini awak seorang, tetapi juga dengan keluarga awak. Sebab itulah saya jadi tertekan, Mar. Sebab itulah saya mengasingkan diri. Sebenarnya, sayalah yang patut rasa bersalah sebab tidak berterus-terang dengan awak sejak mula. Bukan awak yang bersalah, Mar. Awak tak perlu risau.”

Marissa mengetap bibirnya perlahan. Airmata masih mencurah-curah tidak berhenti. Kemalangan yang pernah menimpa Ashri sewaktu mereka masih belajar dulu menjadi penyebab Ashri tidak boleh melahirkan zuriat. Rahsia yang selama ini terpendam kemas dalam genggaman Ashri tiada sesiapa pun yang mengetahuinya. Marissa benar-benar sebak dengan perbuatannya terhadap Ashri. Hanya kerana satu ilusi, dia harus redha menerima takdir yang telah pun tertulis dalam perjalanan hidupnya.

-tamat-

No comments:

Post a Comment