“Betul ini keputusan awak?” tanyaku.
“Iya, Puan. Saya minta maaf banyak-banyak sama
Puan. Kalau ibu saya tak sakit tenat, saya masih mahu bekerja dengan Puan lagi.
Maaf iya, Puan?” Kartini berulangkali memohon kemaafan dariku.
Kartini, pembantu rumahku yang sudah bekerja
selama dua tahun setengah denganku, sepatutnya ada enam bulan lagi sebelum
kontraknya tamat. Dia berjanji akan bekerja denganku sehingga anak sulungku
masuk sekolah tadika awal tahun hadapan. Nampaknya, tidak menjadi rancanganku.
Aku senyum kecil memandang Kartini. “Tak
apalah, Tini. Awak pulang jelah. Tahulah saya uruskan rumah saya ni.”
“Rina bagaimana, Puan?” soal Kartini tentang
anak sulungku, Sabrina.
Aku senyum lagi. Walaupun aku sudah dapat
mengagak apa yang bakal ku lakukan, namun aku masih runsing sekiranya
rancanganku tidak menjadi. Dengan Kartini berkali-kali aku ingatkan usah risau
dengan diriku dan keluargaku. Sekiranya dia hendak pulang, pulang sajalah.
Siapalah aku untuk menahannya pulang. Dia sekadar pembantu, yang masih punya
keluarga dan saudara-mara untuk diuruskan.
Aku akui, Kartini banyak membantu aku dalam
menguruskan hal-hal berkaitan rumahtanggaku. Urusan baju semuanya ku letakkan
bulat-bulat di atas bahu Kartini. Kecuali pakaian dalam. Tak sanggup pula
rasanya membiarkan dia menguruskan pakaian kecil aku dan suamiku. Yang aku
tahu, semuanya beres dilipat dan digosok.
Membersihkan rumah juga menjadi
tanggungjawabnya. Aku tidak begitu cerewet dalam soal habuk-habuk ni. Aku
sekadar berpesan, rumahku biar bersih. Terpulang pada dia bagaimana cara untuk
dia melakukannya. Cuma apa yang kulihat, Kartini memang rajin orangnya. Jarang
sekali aku jumpa perabotku yang berhabuk. Lantai pula sentiasa licin dan
berkilat. Tingkap rumahku juga begitu. Rasanya aku sendiri tidak serajin itu
untuk melakukannya setiap minggu.
Pernah aku berpesan agar jangan memenatkan
badan mengelap perabot setiap minggu, namun dia mengatakan yang aku bakal
mendapat malu sekiranya rumahku berhabuk. Nanti orang pasti mengatakan ruginya
aku menggaji pembantu yang tidak membuat kerja. Aku sekadar mengiyakan saja
kata-katanya itu.
Memasak pula, tanggungjawabku. Keluargaku mestilah memakan masakan daripada air tanganku sendiri. Dipendekkan cerita, dengan adanya Kartini dirumahku dapatlah aku bersantai dan menghabiskan hujung minggu bersama keluarga tanpa dibebani dengan kerja-kerja rumah yang pastinya memenatkan badanku.
Cuma tidak ku sangka, jodohku bersama Kartini
hanya setakat itu. Seminggu sebelum dia pulang, aku dan suami sama-sama
bersetuju untuk memasukkan Sabrina ke sekolah tadika yang berdekatan rumah
makcikku. Makcikku yang ku panggil Mak Lang sudah bersetuju untuk menjaga
Sabrina selepas dia pulang daripada tadika nanti.
Aku tidak pasti samada Sabrina sudah bersedia
untuk ke sekolah atau tidak. Bagiku, dia masih kecil. Baru tiga tahun lebih.
Aku tidak pernah melepaskan Sabrina berseorangan menghadapi dunia ini. Tidak
pernah! Dunia Sabrina mestilah bersama keluarganya sahaja. Hanya keluarga saja
menjadi tempat kepercayaanku. Walaupun Kartini pembantu yang baik, namun tetap
juga aku tidak percaya.
Sebelum Sabrina masuk ke sekolah, hampir setiap
hari aku memberitahunya yang dia akan ku hantar ke sekolah memandangkan Kak
Tini akan berhenti kerja. Sabrina masih lagi pelat, pertuturannya masih tidak
stabil lagi. Kadang-kadang dia semacam memahami pesananku, kadang-kadang dia
terangguk-angguk seolah memahami tetapi lain pula yang dilakukan. Aku sendiri
tidak pasti samada dia faham atau tidak dengan ceritaku tentang kehidupan baru
yang harus ditempuhinya.
Aku tidak boleh mengharapkan Mak Lang menjaga
Sabrina sepanjang masa kerana Mak Lang mempunyai komitmen yang agak tinggi. Dia
mempunyai empat orang anak yang masih kecil dan belum bersekolah, dua daripada
mereka adalah kembar. Kemudian Mak Lang turut menjaga ibu mertuanya yang uzur.
Tidak sampai pula hatiku hendak menambah beban kepada Mak Lang sepanjang hari.
Kerana itulah aku meminta sangat-sangat daripada Mak Lang supaya dia membantu
aku menjaga Sabrina dalam tempoh setengah hari sahaja. Alhamdulillah Mak Lang
setuju.
Hari pertama Sabrina ke sekolah, aku dan
suamiku sama-sama mengambil cuti. Aku teruja. Begitu juga suamiku. Walaupun
keputusan itu adalah separuh rela, tetapi aku masih mahu menghantarnya ke
sekolah pada hari pertamanya. Aku mahu melihat dengan mataku sendiri bagaimana
Sabrina dibiarkan sendirian ke sekolahnya. Bagaimana dia mahu meminta sesuatu
daripada cikgunya. Bagaimana dia mahu bergaul dengan rakan sebayanya. Bagaimana
dia mahu memberitahu cikgu yang dia mahukan susu. Bagaimana pula dia hendak
membuang air kecil? Atau dia terasa rindu pada aku dan suamiku? Berjayakah
Sabrina lalui semua ini? Tahukah dia mengawal dirinya sendiri? Pandaikah dia
melakukan segalanya sendirian? Bolehkah, sayang?
Mama takut, Sabrina. Mama risau!
Pagi masih awal lagi ketika aku kejutkan
Sabrina untuk bangun. Aku kejutkan dia dengan sepenuh kasih dan sayangku. Aku
tidak mahu dia mengamuk di hari pertama persekolahannya, seterusnya akan
membuatkan dia merajuk dan tidak mahu ke sekolah. Sambil memandikan dia, aku
pandang wajahnya dari atas hingga ke bawah. Tidak ku sangka, Sabrina bakal
menjadi dewasa selepas ini. Sabrina bukan lagi bayi kecil seperti dahulu, yang
perlu didukung dan dipeluk setiap masa. Dia sudah besar. Sudah pandai menggosok giginya dengan sendiri.
Selepas memakainya tudung, kami semua bergerak
ke tadika yang terletak berhampiran dengan rumahku. Habis saja urusan
pendaftaran dan tika aku ingin pulang, ku lihat Sabrina tidak keruan. Dia
seperti mahu mengikut aku balik. Aku pujuk dia perlahan-lahan.
“Sayang, ini sekolah sayang. Look, ada ramai
kawan. Sabrina jangan takut, ya? Mama dengan papa tunggu dekat luar.” Aku
menggosok belakang badannya dengan perlahan.
“Takut, mama… takut, mama…,” Sabrina mengongoi.
Ah, sudah! Macamana ni?
Tiba-tiba seorang perempuan muda yang ku kira
cikgunya datang menghampiri. Kami sama-sama memujuk Sabrina. Macam-macam yang
kami beritahu Sabrina hingga akhirnya dia setuju mengikut cikgu tersebut masuk
ke kelasnya. Fuh! Lega satu masalah.
“Cikgu, Sabrina ni tak pernah berenggang dengan
saya atau family saya. Saya takut dia tak biasa dengan orang yang dia tak
kenal. Kalau dia buat hal sampaikan cikgu pun tak boleh handle, please call
saya. Boleh tak?”
“Puan jangan risau. Insya-Allah kami boleh
handle dia. Tapi kalau apa-apa hal, kami telefon.”
Aku mengangguk perlahan. Moga-moga Sabrina
selamat berada di sini. Moga dia tidak dipukul atau dicederakan. Moga dia tidak
dibuli kawan-kawan. Wahai Sabrinaku sayang, jagalah dirimu sebaiknya. Mama
sentiasa doakan keselamatan Sabrina terpelihara.
Aku keluar mendapatkan suamiku yang berada di
halaman tadika. Kami sama-sama menuju ke kereta dan pulang ke rumah. Doa tidak
putus dalam hatiku. Wajahku sentiasa tegang. Kelas Sabrina bermula jam 8.30
pagi hingga 12.00 tengahari. Setiap detik untuk tiga setengah jam itu amat
bermakna bagiku.
Setiap minit aku berfikir kenapa cikgu tidak
menelefonku. Sabrina elokkah di sana ?
Tidak membuat masalahkah dia? Cikgu kata jam 10.00 pagi mereka akan diberi
biskut atau kuih, mahukah Sabrina memakannya tanpa keluarga di sisi? Boleh ke,
sayang? Ya Allah, tenangkan hatiku…
Lagi 10 minit ke jam 12.00 tengahari aku dan
suami sudah setia menunggu di halaman tadika. Tetapi kereta kami agak tersorok.
Aku tidak mahu Sabrina melihatku. Sepatutnya Sabrina akan menaiki bas sekolah.
Jadi kami sekadar memerhatikan dari jauh, mahu tahu bolehkah Sabrina menaiki
bas sekolahnya bersama orang yang tidak dikenali?
Tepat jam 12.00, aku lihat ramai kanak-kanak
mula keluar dari sekolah mereka. Aku tercari-cari wajah Sabrina. Dalam ramai-ramai
itu, tidak begitu jelas yang mana satu Sabrina kerana tubuh dan saiz mereka
lebih kurang sama sahaja. Pakaian pula sedondon warnanya. Aku dan suamiku cuba
mencari beg yang disandang oleh Sabrina kerana itu sahaja yang dapat membezakan
mereka.
“Mama, tu anak kita,” ujar suamiku perlahan
sambil menudingkan jarinya kepada seorang anak kecil yang bertudung putih
sedang berjalan perlahan menuju ke sebuah bas sekolah yang sedia menanti di
luar pagar.
Aku hanya memandang ke arah Sabrina yang
berjalan berduaan dengan seorang anak kecil yang mungkin kawan barunya ke arah
bas sekolah tersebut. Tiba-tiba hatiku
menjadi sayu. Entah kenapa. Rasanya baru semalam aku mabuk-mabuk dan
muntah kerana mengandungkan Sabrina. Masih terasa lagi akan peritnya tekak menelan
jamu dalam tempoh pantang selepas melahirkannya. Terbayang pula kaki Sabrina
yang tidak begitu stabil ketika mula-mula pandai berjalan. Terngiang-ngiang
suara halus Sabrina ketika dia mula memanggil aku ‘mama’. Masih terasa hangat
tubuhnya ketika aku memeluknya semasa dia diserang demam panas.
Airmataku mengalir tanpa dipinta. Perasaanku
bercelaru. Aku gembira melihatkan Sabrina yang melalui hari pertama
persekolahannya. Cuma dalam masa yang sama, aku kasihan melihatkan dia terpaksa
bersendirian untuk kali pertama tanpa aku atau papanya di sisi.
Saat-saat untuk mendapatkan Sabrina adalah
tempoh yang sukar sekali bagiku dan suamiku. Setelah berkahwin selama lima tahun, barulah aku
disahkan mengandung. Tempoh sembilan bulan kandungan yang menyeksakan, kulalui
dengan penuh kesabaran di hati. Aku tidak seperti ibu-ibu yang lain, yang
kulihat gembira setiap kali melakukan pemeriksaan. Mencecah saja lima bulan,
doktor terus menyarankan supaya aku duduk di hospital sehingga Sabrina di
lahirkan. Uriku berkedudukan di bawah. Bahaya untuk nyawaku, jua nyawa bayiku.
Aku akur. Demi seorang anak, aku dan suamiku melakukan apa saja yang dinasihati
doktor agar anak itu dapat dilahirkan dengan baik ke dunia.
Kenangan lama yang sebentar tadi hadir
direnggut dengan genggaman tangan suamiku yang erat bersatu dengan tanganku.
Aku toleh melihatnya. Suamiku turut mengalirkan air mata. Pandangan kami
bersatu. Kami berpelukan. Agak lama. Aku tahu yang dia turut memikirkan apa
yang aku fikirkan tadi. Siapa yang tidak sedih, segala tohmahan dan cacian
saudara-mara kami telan bersama. Tempoh lima
tahun tidak langsung merenggangkan kasih sayang antara aku dan suamiku. Kami
sentiasa berusaha untuk memiliki anak. Apa saja cara yang dicadangkan, kami
sanggup mencuba. Mereka diluar tidak tahu, mereka hanya tahu menuduh. Kononnya
aku mandullah, atau suamiku yang tidak mampu. Namun, berkat kesabaran dan doa
yang tidak putus, Alhamdulillah lahirlah Sabrina dengan kehendak Yang Maha Esa.
Aku meleraikan pelukanku sebaik ku lihat bas
sekolah ingin bergerak. Suamiku mengesat airmata dengan tangannya. Ku pandang
kedua tangannya yang mula memegang stereng. Tangan itulah yang telah mendukung
Sabrina dan mengazan serta mengiqamahkannya ketika dia selamat keluar dari
rahimku. Aku masih ingat wajahnya yang sebak dan tangannya yang menggeletar, ketika
menyambut Sabrina daripada huluran jururawat. Orang lain ketawa gembira
menyambut bayi mereka, aku dan suamiku pula gembira dalam tangisan.
“Tak sangka kan , mama. Dapat jugak kita tengok anak kita
pergi ke sekolah. Dulu papa ingat, kita takkan dapat peluang macam ni. Papa
bersyukur sangat…,” suaranya terhenti menahan sebak.
Aku pula apalagi. Airmata kembali mencurah.
Benar, aku dan dia pernah berfikiran yang kami sama-sama tidak akan dapat
melalui pengalaman seperti ini. Nampaknya, kami silap. Bukanlah kita yang
menjadi penentu kepada takdir hidup kita sendiri.
Aku mengusap perlahan pahanya tanda aku memberi
sokongan padu terhadapnya. Tidak ku sangka jiwanya sensitif. Lelaki yang ku
nampak macho dan selalu tenang menghadapi dugaan ini mempunyai hati yang mudah
terusik rupanya.
“Insya-Allah kalau umur kita panjang, dapatlah
kita merasa apa yang orang lain rasa. Hari pertama dia sekolah kita dah rasa…”
“Tadika!” pintasku sambil ketawa kecil.
Suamiku sedikit tersentak. “Oppss, over la
pulak papa ni,” balas suamiku sambil ketawa perlahan.
“Sambunglah yang papa nak cakap tadi tu,” ujarku bila
tiba-tiba kami berdiam diri.
“Mmm… yang mana ya? Papa lupa dah…”
“Pasal hari pertama dia ke tadika,” jawabku.
Kemudian suamiku kembali senyum. “Iya, hari pertama dia ke tadika kita dapat tengok. Insya-Allah kita
tengok pula dia pada hari pertama dia ke sekolah rendah, ke sekolah menengah,
ke universiti harap-harapnya. Sampailah dia kahwin dan beranak pinak nanti.”
Giliranku pula untuk senyum. Iya, pa! Semoga
doa papa dimakbulkan. Amin.
Dua puluh lima tahun berlalu dengan begitu
pantas. Aku duduk di birai katil sambil tanganku perlahan mengusap kepingan
gambar Sabrina waktu dia masih bayi. Satu persatu aku perhatikan. Satu persatu
juga kenangan hadir. Hari ini hari pertama aku bakal lepaskan dia pada seorang lelaki
yang bakal bergelar suami.
Suamiku datang tanpa ku sedari. Dia turut sama
memerhatikan gambar-gambar Sabrina. Ku pandang wajah suamiku perlahan. Uban
yang memutih di kepalanya, kulit wajah yang sudah nampak kedutannya menandakan
aku dan dia sama-sama sudah masuk ke peringkat yang lebih usia.
“Sabrina dah dewasa, ma. Mama mesti terima
hakikat ni. Dia bukan anak kecil lagi,” ujar suamiku menasihati.
Aku angguk perlahan. Faham benar maksudnya.
Manakan tidak, sudah tiga kali lelaki yang sama hendak memperisterikan anakku,
tapi aku yang menghalang. Daripada umur Sabrina dua puluh tiga tahun, hingga
sekarang sudah pun dua puluh tujuh tahun, barulah aku izinkan mereka bernikah.
“Hari ni hari pertama dia akan lepas dari
tanggungjawab kita,” balasku perlahan.
“Mama…,” seru Sabrina daripada belakang. Aku
dan suamiku menoleh.
Sabrina nampak air mataku yang mula bergenang.
Dia menghampiri.
“Mama, Rina sentiasa anak mama tau. Cuma
tanggungjawab saja bertukar tangan. Tapi sampai bila-bila pun Rina anak mama.
Tiada istilah hari pertama atau hari terakhir. Hari-hari adalah hari yang sama
untuk kita.”
Aku mengangguk-angguk kecil. Aku faham itu
semua. Cuma kadang hatiku terlalu sukar menerima.
“Kalau Rina ada anak nanti, bagi mama jaga ya?” pintaku.
Sabrina ku lihat senyum. “Okay, kalau macam tu Rina bagi cucu lima orang dekat mama!”
Aku tergelak. Suamiku juga. Kami kemudian
sama-sama bangun untuk turun ke bawah. Namun sebaik sampai di muka pintu
bilikku, Sabrina yang sudah berhias cantik itu memelukku erat.
“Rina sayang mama,” ucapnya ringkas. Dia
menangis. Aku apa lagi. Kami sama-sama menangis di situ. Aku usap-usap perlahan
badannya. Itulah yang selalu aku lakukan tika dia menghadapi masalah.
Agak lama kami menangis. Suamiku turut sebak.
Hinggalah kedengaran seseorang memanggil kami bertiga, barulah pelukan kami terlerai.
“Hari ni hari pertama mama lepaskan
tanggungjawab mama pada Asyraf, tapi hari pertama mama jadi ibu mertua.
Esok-esok nanti hari pertama mama jadi nenek,” kata Sabrina. Wajahnya basah
dengan air mata. Comot juga solekannya.
“Jangan lambat mengandung tau! Mama tuntut
janji Rina tadi, lima orang ya,” usikku.
Kami kemudian sama-sama tertawa kecil dan
menuruni anak tangga untuk segera ke masjid bagi menyegerakan pernikahan
Sabrina. Tanganku dipegang Sabrina sepanjang perjalanan ke sana. Semoga hangat
tangan Sabrina tidak berakhir di sini. Semoga Sabrina mendapat kebahagiaan
penuh dalam alam baru yang bakal ditempuhinya, seperti mana aku dahulu. Semoga
doa dan restuku sentiasa ada untuk Sabrina selagi hayatku dikandung badan.
No comments:
Post a Comment